Manfaatkan platform digital

Moehamad Izat Emir
Moehamad Izat Emir
A
A
A

USAHAWAN dalam kalangan anak muda yang mendominasi 40 peratus daripada keseluruhan populasi negara ini, mempunyai kuasa besar dalam perniagaan hari ini untuk memanfaatkan platform digital dalam memenuhi permintaan pengguna.

Platform baharu ini dilihat seiring dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan ekonomi digital sebagai pemacu dalam pembangunan negara.

“Ia merupakan langkah relevan dalam mengendalikan perniagaan dan pemasaran kerana kebanyakan kita mempunyai satu atau dua telefon pintar, segalanya boleh dilakukan dengan alat ini.

“Mereka boleh menggunakan pemasaran digital di platform e-dagang untuk mencapai pasaran lebih luas. Oleh itu kita harus memanfaatkan teknologi ini.

“Ia bukan sahaja boleh meningkatkan pertumbunan pendapatan negara, malah kita juga boleh meluaskannya di luar Malaysia dan memasuki pasaran ASEAN, yang mempunyai 667 juta penduduk,” kata Presiden Persatuan Pedagang ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir kepada Bernama.

Katanya usahawan dalam kalangan generasi-Y kini berkuasa dan berpengaruh dalam menjana suasana perniagaan baharu menggunakan teknologi.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Google dan Temasek Holdings, pasaran e-dagang di Asia Tenggara dijangka bernilai US$200 bilion menjelang 2025, manakala perdagangan mudah alih dijangka meningkatkan pertumbuhan e-dagang memandangkan pengguna telefon pintar menyumbang lebih daripada 90 peratus pengguna Internet Asia Tenggara.

Penembusan perdagangan mudah alih adalah 58 peratus di Thailand, 40 peratus di Malaysia, 39 pertaus di Singapura, 33 peratus di Vietnam, 31 peratus di Indonesia dan 25 peratus di Filipina setakat Januari 2018.

Artikel Berkaitan:

Perdagangan mudah alih atau m-commerce ditakrifkan sebagai membeli dan menjual barangan dan perkhidmatan melalui Internet menggunakan telefon mudah alih.

Moehamad Izat berkata memandangkan kesemua 10 negara ASEAN mempunyai banyak persamaan dari segi budaya, kepercayaan dan agama, maka lebih banyak urusan perniagaan boleh dijalin dalam kalangan negara ini di samping mempromosi persaingan sihat.

“Kami juga makan makanan ruji yang sama dan persamaan lain seperti sumber alam semula jadi termasuk minyak sawit, minyak dan gas, getah dan tekstil,” katanya.

Moehamad Izat berkata ASEAN jika bersatu kukuh seperti blok perdagangan lain dan berada pada kedudukan untuk menjadi ekonomi keempat terbesar di belakang China, India dan AS menjelang 2030 (mengatasi EU dan Jepun).

Beliau juga menggesa belia yang mewarisi perniagaan ibu bapa supaya meningkatkan model atau perancangan perniagaan ke peringkat lebih tinggi dan terlibat dengan platform digital untuk meluaskan pasaran.

"Walaupun ibu bapa mereka menjadi usaha kecil seperti keropok lekor, batik canting di kampung, mereka boleh mempromosi produk melalui media sosial dan menjualnya kepada penduduk setempat dan pembeli di luar negeri.

"Saya juga melihat mereka suka menceburi perniagaan makanan dan minuman seperti trak makanan, baik apabila mereka menjadi bos mereka sendiri, namun bukan hanya mempunyai satu trak makanan, malah wajar mengembangkan perniagaan mereka kepada 10 trak makanan (contohnya) dan mempunyai 10 jenama.

"Mereka boleh mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan iaitu SIRIM dari segi meningkatkan jenama kerana jenama yang baik penting dalam membantu membawa produk mereka ke peringkat antarabangsa. Mereka boleh belajar dari nama besar di pasaran hari ini seperti Coca-Cola, Nestle dan lain-lain,” katanya.

Beliau juga menggesa usahawan muda, terutama Bumiputera, supaya bijak dan pantas dalam merebut peluang yang diberikan oleh kerajaan dan agensinya melalui pelbagai program atau insentif untuk memulakan perniagaan.

Beliau berkata terdapat banyak usahawan muda yang benar-benar mempunyai rancangan perniagaan yang kreatif dan inovatif, namun tidak memanfaatkan dana yang ditawarkan kerana bimbang tidak dapat membayar semula pinjaman.

"Inilah sebabnya persatuan itu telah menganjurkan dan akan terus menganjurkan sesi latihan mengenai pembiayaan perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam usaha untuk memperluas bantuan kewangan kepada mereka.

"Kami telah dan akan menjalin kerjasama dengan Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad sekali lagi untuk membantu syarikat-syarikat ini jika mereka memerlukan pembiayaan".

Haslinda Hashim, pemilik nasi lemak buluh di Petaling Jaya, berkata antara masalah utama yang melanda PKS Melayu ialah kekurangan modal untuk tujuan pemasaran.

"Syarat oleh bank menyebabkan kami menghentikan perancangan kami. Sesetengah daripada kami telah lama berada dalam industri dan mungkin mempunyai perniagaan lain, adat berniaga bukan selalunya bernasib baik, tetapi kami perlu teruskan hidup,” katanya.

Haslinda berkata sukar bagi pemilik perniagaan yang telah jatuh muflis untuk memulakan perniagaan baharu.

"Tetapi kerana keghairahan saya dalam bidang ini, saya komited untuk meneruskan perniagaan,” kata ibu tunggal itu.

Beliau telah berniaga lebih 18 tahun dan pernah terlibat dalam perniagaan farmaseutikal.

"Nasihat saya kepada usahawan muda dan ibu tunggal ialah supaya sentiasa bersabar dalam mencapai impian anda, kenal pasti kekuatan dan manfaatkannya serta atasi kelemahan.

Pengerusi Belia Persatuan Pedagang ASEAN, Farique Azwan pula berkata dewan itu akan bekerjasama dengan UiTM bagi mewujudkan Akedemi ASEAN untuk program pertukaran pelajar.

"Kami mahu memberi pendedahan kepada pelajar antara rantau ASEAN dan menyuntik semangat perniagaan dalam kalangan mereka. Program ini akan membolehkan pelajar (dalam rantau ASEAN) datang ke sini dan pelajar kita pula akan keluar untuk belajar tentang budaya dan perniagaan yang diamalkan di luar dan mungkin yang menjadi trend terkini dalam industri ini.

"Generasi ini mempunyai keperluan sendiri untuk mengamalkan gaya hidup mereka, oleh itu, mereka perlu belajar bagaimana untuk menghasilkan wang sendiri dan tidak hanya bergantung kepada ibu bapa.

"Siapa tahu selepas tamat pengajian, dengan kemahiran dan pengalaman keusahawanan, mereka boleh menjadi individu yang mencipta pekerjaan dan bukannya mencari pekerjaan," katanya. - Bernama