Laporan tidak masuk akal: Pejabat MB Johor

No Image Caption
A
A
A

PASIR GUDANG - Pejabat Menteri Besar Johor menegaskan kenyataan paparan petikan tajuk berita yang tular di media sosial kononnya Menteri Besar mengeluarkan kenyataan ‘tidak perlu pindah penduduk kerana rumah boleh ditutup pintu’ adalah tidak tepat.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Menteri Besar Johor memaklumkan kenyataan tersebut tidak mengambarkan keseluruhan penjelasan mengenai situasi semasa dan keperluan memindahkan penduduk.

“Penilaian yang dibuat oleh Jawatankusa Pengurusan Bencana Negeri mendapati kawasan sekolah dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi setelah mengambil kira struktur bangunan yang terbuka manakala orang awam yang tinggal di kawasan perumahan yang lebih tertutup dan terlindung pula paling kurang terdedah kepada risiko pencemaran,” katanya di sini hari ini.

Pejabat Menteri Besar Johor memaklumkan rupa bentuk struktur bangunan antara kegunaan awam seperti sekolah (tinggi dan terbuka) dengan premis peribadi seperti rumah menjadi faktor penting bagaimana kawalan boleh dilakukan dari merebaknya pencemaran.

Dalam kenyataan itu diberitahu berdasarkan laporan serta nasihat daripada agensi yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut selain tindakan proaktif yang telah diambil serta pemantauan secara rapi, maka Jawatankuasa Bencana Negeri mendapati tiada keperluan untuk memindahkan penduduk memandangkan keadaan adalah terkawal.

“Namun demikian, langkah-langkah pencegahan dan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, hendaklah dipatuhi oleh orang ramai.

“Merujuk kepada paparan mengenai laporan kenyataan tersebut, secara jelas dan sememangnya tidak masuk akal malah penularan paparan ini ternyata berniat jahat, tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk memburukkan nama YAB Menteri Besar serta memberi gambaran yang salah mengenai kedudukan situasi ini,” katanya.

Berdasarkan rakaman kenyataan tersebut, Menteri Besar pada ketika itu menjawab soalan diajukan wartawan sama ada perlu atau tidak dipindahkan segera atau penduduk kawasan perumahan berdekatan dengan Sungai Kim Kim.

Artikel Berkaitan:

Menteri Besar menjawab beliau melihat kawasan perumahan tidak terjejas, sebaliknya hanya sekolah berikutan (struktur) sekolah agak terdedah manakala rumah pula tertutup.

“Saya lihat kawasan rumah ini tidak terjejas, hanya sekolah-sekolah kerana sekolah ini agak terdedah, rumah ini ditutup pintu dan sebagainya.

“Dan mereka yang duduk di rumah ini, biasanya dia takkan keluar sewaktu siang hari dan sebagainya. Dan sebahagian daripadanya pergi kerja,” katanya.