Pekerja kilang maut

Pegawai Penyiasat JKKP menjalankan siasatan berhubung kejadian maut yang menimpa seorang pekerja kilang di Lahat, semalam.
A
A

IPOH - Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) Perak telah mengeluarkan dua notis larangan terhadap sebuah kilang selepas seorang pekerjanya maut ditimpa ‘bottom shell’ seberat 4 tan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Goh Weng Hoo, 57, maut ditempat kejadian akibat ditimpa peralatan yang terjatuh daripada ‘rotator’ ketika membuat kerja kimpalan untuk pembuatan ‘solvent tank farm’.

Pengarahnya, Ir Zamzurin Maarof berkata, pihaknya mengarahkan kerja-kerja melibatkan penggunaan ‘rotator’ di kilang pembuat bejana tekanan tak berapi di Lahat itu dihentikan serta merta.

"Sepasukan pegawai penyiasat menjalankan siasatan dan kita telah mengarahkan semua kerja melibatkan penggunaan 'rotator' dihentikan serta merta bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Dua notis larangan iaitu kegagalan majikan mewujudkan prosedur kerja selamat dan mengadakan penaksiran risiko bagi kerja-kerja penggunaan 'rotator' telah dikeluarkan kepada majikan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan mengambil tindakan perundangan sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Kejadian seumpama ini boleh dielakkan sekiranya majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

"Semua majikan digesa untuk mempertingkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja bagi mengelakkan berlakunya kemalangan," katanya.​

'Bottom Shell' seberat 4 tan terjatuh dari 'rotator' telah menimpa seorang pekerjanya yang sedang menjalankan kerja kimpalan untuk pembuatan ‘solvent tank farm'.
'Bottom Shell' seberat 4 tan terjatuh dari 'rotator' telah menimpa seorang pekerjanya yang sedang menjalankan kerja kimpalan untuk pembuatan ‘solvent tank farm'.