Pengembara 11 negara wajib jalani kuarantin sebelum masuk Sabah

Masidi - Foto Bernama
Masidi - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah menetapkan pengembara dari 11 negara dikehendaki menjalani kuarantin wajib sebelum memasuki negeri itu berkuat kuasa 28 Disember (Selasa) ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata, pengembara yang terlibat adalah dari United Kingdom, Arab Saudi, Australia, Norway, Perancis, Kanada, Denmark, Nigeria, Amerika Syarikat, India dan Pakistan.

“Pengembara hendaklah menjalani kuarantin wajib melalui Pintu Masuk Antarabangsa Pertama di pusat kuarantin yang ditetapkan kerajaan sebelum dibenarkan untuk memasuki atau meneruskan penerbangan ke Sabah,” katanya menerusi kenyataan malam Ahad.

Sementara itu, Masidi berkata, Sabah merekodkan 108 kes Covid-19 pada Ahad menjadikan jumlah kumulatif 239,590 kes dengan satu kematian dilaporkan di Kota Belud.

“Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 222 menjadikan jumlah kumulatif (sembuh) 232,293 orang, manakala 678 pesakit sedang menerima rawatan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: