Video tular minta bantuan banjir dapat perhatian

Rohana (kiri) bersama barang-barang rosak yang berjaya dikeluarkan dari rumahnya di Bukit Changgang, Banting di sini.
Rohana (kiri) bersama barang-barang rosak yang berjaya dikeluarkan dari rumahnya di Bukit Changgang, Banting di sini.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang suri rumah tidak menyangka tindakannya berkongsi keadaan rumah sewanya yang rosak akibat dilanda banjir di Bukit Changgang, Banting, di sini dalam media sosial akhirnya mendapat perhatian daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Rohana Abdul Rahman, 30, yang terkejut dengan keadaan rumahnya kemudian merakam video untuk meminta pertolongan kepada mana-mana pihak yang sudi membantu bersihkan kediamannya dengan memuat naik video tersebut dalam aplikasi TikTok pada Sabtu dengan harapan video tersebut tular.

Menurutnya, setelah video berkenaan tular dia kemudiannya menerima banyak mesej daripada pelbagai pihak yang ingin membantunya sekeluarga yang terjejas akibat banjir.

"Pada jam 7 pagi Ahad, ada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) nak datang jumpa saya untuk menyumbangkan barang bantuan seperti susu dan lampin pakai buang kepada saya, Merekalah orang pertama yang menemui saya dan hulurkan bantuan.

"Tidak lama kemudian, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki datang bersama pasukannya untuk membantu bersihkan rumah saya dan kejiranan lain," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Rohana yang menetap selama empat tahun di situ turut menceritakan kisahnya dan keluarga menyelamatkan diri daripada banjir di kawasan tersebut apabila rumahnya ditenggelami air setinggi empat meter pada petang Sabtu lalu.

Ujarnya, selepas mereka keluar dari kediaman sambil membawa beberapa dokumen penting, pakaian serta keperluan lain, dia bersama suami dan empat orang anaknya pergi ke Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, Banting di sini untuk berlindung.

Begitupun, Rohana berkata, mereka hanya mampu tinggal di sana selama dua hari kerana tidak tahan dengan ketiadaan bekalan air dan elektrik.

Artikel Berkaitan:

"Pada Ahad lalu, kami buat keputusan untuk keluar dari situ kerana tiada bekalan air dan elektrik, saya ada anak kecil berusia setahun sembilan bulan yang menangis tanpa henti kerana tidak selesa.

"Jadi kami terpaksa menunggu bot untuk membawa kami dari jam 9 pagi hingga 1 petang kerana ramai orang turut menghadapi masalah sama.

"Kami tidak pulang melihat keadaan rumah, sebaliknya menginap di sebuah hotel di Dengkil dengan bantuan kewangan daripada keluarga. Kami kemudiannya ke rumah rakan di Klang dan kembali ke sini selepas lima hari hidup berpindah-randah," ujarnya.

Dalam pada itu, Rohana berkata, dia mula kembali untuk melihat keadaan rumahnya pada Khamis lalu dan mengalihkan dua buah motosikal miliknya yang tenggelam ke tepi jalan utama, walaupun ketika itu air masih mencecah sekitar 0.5 meter.

Dia berkata, keesokan harinya dia datang untuk memasuki rumahnya, namun pintu tidak boleh dibuka dan terpaksa dipecahkan.

"Ketika saya memasuki rumah, hanya Tuhan sahaja yang tahu, memang habis semuanya barangan dalam rumah, tiada apa yang tinggal. Semua perabot dan kelengkapan rumah habis rosak dan terpaksa dibuang dan kerugian yang saya alami adalah sekitar RM30,000.

"Malah gelang buatan tangan saya pun terpaksa di buang kerana sudah rosak," jelasnya.

Sementara itu, Rohana turut memberitahu keluarganya ada menasihatinya untuk berpindah ke tempat lain agar kejadian banjir tersebut tidak menimpa mereka lagi.

"Keluarga minta saya buat keputusan (pindah), memang kita tak minta kejadian sebegini berlaku (banjir), tetapi bila dah jadi begini kena beringatlah dan kalau boleh keluarlah dari sini.

"Jadi kalau nak pindah pun, kami akan cari tempat lebih tinggi. Mungkin kami akan berpindah ke Klang," katanya.