Pulau Pinang tubuh unit bencana

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang melalui Agenda Hijau menubuhkan unit bencana bagi menjalankan penyelidikan dan pengumpulan data sebagai persediaan menghadapi sebarang risiko bencana.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, unit yang dikelolakan oleh agensi negeri, Penang Green Council (PGC) turut melaksanakan pelan latihan secara besar-besaran melibatkan 299 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini.

Menurutnya, kesemua mereka akan didedahkan dengan teknik resusitasi kardiopulmonari (CPR), penggunaan automated external defibrillator (AED), asas pertolongan cemas.

Selain itu, beliau berkata, mereka turut diberi latihan dan pemahaman terhadap protokol kesediaan bencana serta pelan pengurusan pasca bencana meliputi teknik penyelamatan, pencegahan penyakit dan lain-lain.

"Pulau Pinang tidak pernah lupa tarikh keramat 26 Disember 2004 yang mana bencana tsunami Laut Andaman telah memusnahkan sebahagian kehidupan penduduk negeri ini.

"Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri melalui Agenda Hijau merangkumi pendekatan Daya Tahan Terhadap Kecemasan Iklim menubuhkan unit bencana ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan Pulau Pinang amat bersimpati dan turut sama bersolidariti dengan semua mangsa banjir di Selangor dan Pahang.

Katanya, berbekalkan pengalaman Pulau Pinang sendiri yang pernah berhadapan dengan banjir besar pada November 2017 dan juga penglibatan dalam misi bantuan bencana banjir di negeri Pantai Timur pada tahun 2014, pihaknya akan sentiasa memberikan sokongan serta bantuan yang diperlukan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sehingga kini pelbagai agensi kerajaan, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli Parlimen dan Ahli-ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dari negeri ini telah turun ke lokasi kejadian dengan membawa pelbagai kelengkapan, bantuan makanan, pasukan penyelamat yang secara berperingkat.

"Sebagai tambahan, badan-badan korporat, orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak berkaitan turut bersama-sama kerajaan negeri dalam membantu apa yang diperlukan," katanya.

Kon Yeow berkata, semua 35 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) negeri ini juga berada dalam keadaan siap siaga yang mana sebanyak 75 peratus daripada ahli-ahli PBS kini masing-masing berada di Selangor dan Pahang bagi meringankan beban ditanggung mangsa-mangsa berkaitan.

"Pulau Pinang turut menghantar anggota-anggota perubatan Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT) dan pasukan sukarelawan, Save City Volunteers bagi memenuhi segala keperluan dalam misi kemanusiaan khas," katanya.