Remaja tunggang motosikal aksi 'Superman' ditahan

Tangkap layar dari rakaman yang tular memaparkan aksi remaja terbabit di KM46 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke arah Selatan.
Tangkap layar dari rakaman yang tular memaparkan aksi remaja terbabit di KM46 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke arah Selatan.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan polis selepas aksi 'Superman' menunggang motosikal Yamaha Y15 tular di Facebook Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, remaja terbabit ditahan di Ipoh pada hari yang sama rakaman itu tular dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak.

Katanya, polis pada awalnya berjaya mengesan rakaman berdurasi 41 saat terbabit di akaun Facebook MotoMalaya kira-kira jam 1.50 petang pada Jumaat.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku di KM46 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke arah Selatan.

"Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk tindakan lanjut manakala semakan mendapati remaja itu tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif," katanya.

Ahmad Shukri berkata, suspek direman selama empat hari bermula 25 sehingga 28 Disember ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan 1987.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000," katanya.

Artikel Berkaitan: