Kanak-kanak empat tahun maut dalam kemalangan

Bahagian hadapan kereta Perodua Myvi remuk akibat kemalangan terbabit.
Bahagian hadapan kereta Perodua Myvi remuk akibat kemalangan terbabit.
A
A
A

KUBANG PASU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas kereta yang dinaiki bersama keluarganya terbabas ke dalam sungai di Jalan Sungai Korok di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.29 pagi ketika mangsa, Haraz Safiy Haniz menaiki kereta Perodua Myvi bersama tiga ahli keluarga yang lain.

Beliau berkata, kemalangan itu berlaku ketika kenderaan yang dipandu bapanya, Haniz Mohamad, 35, bergerak dari arah pekan Jitra menghala ke Ayer Hitam dalam keadaan cuaca baik dan jalan yang kering.

"Namun ketika sampai di Jalan Sungai Korok, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar papan tanda di bahu kanan jalan dan terjatuh ke dalam sungai," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan bahagian hadapan kereta terbabit remuk namun semua mangsa yang berada di dalam kenderaan berjaya dikeluarkan oleh pemandu.

"Mangsa yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan. Walau bagaimanapun, pada jam lebih kurang 12.20 tengah hari Haraz Safiy disahkan meninggal dunia.

"Mayat telah dihantar ke Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk siasatan lanjut.

"Adik mangsa, Syafin Haadif Haniz, dua tahun masih menerima rawatan di zon merah Hospital Jitra manakala bapa dan ibu mereka, Nurul Syahira Zamri,34, mengalami luka ringan.

Artikel Berkaitan:

Rodzi menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan dan kenderaan dihantar untuk pemeriksaan Puspakom.

"Kita juga sedang giat mengesan saksi bebas yang menyaksi kejadian kemalangan ini," katanya.