46 lokasi tanah runtuh di Selangor dan KL, 9 kritikal

Keadaan tanah runtuh yang mengakibatkan empat buah rumah tertimbus di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala pada 20 Disember lepas. - Foto Bernama
Keadaan tanah runtuh yang mengakibatkan empat buah rumah tertimbus di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala pada 20 Disember lepas. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 46 lokasi tanah runtuh dilaporkan di Selangor dan Kuala Lumpur dengan sembilan daripadanya dikategori pada tahap kritikal setakat Ahad, menurut Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Laporan Kejadian Tanah Runtuh Monsun Timur Laut yang dikeluarkan JMG memaklumkan sembilan lokasi tanah runtuh itu membabitkan dua lokasi di sini, iaitu Kampung Palimbayan di Sungai Penchala dan Taman Duta di Seri Duta.

Selebihnya ialah di Selangor iaitu Taman Nusa, Subang; Apartment Teratai, Selayang; Jalan Bunga Anggerik, Taman Melawati; Jalan Melati 7, Taman Seri Melati; Kampung Sepakat, Batu 16, Rawang; Jalan Saidina Hamzah, Kampung Bukit Sungai Puteh, Ampang; dan Jalan Haji Abdul Latif, Kampung Bukit Kapar, Klang.

Kesemua kawasan kritikal itu termasuk 36 lokasi tanah runtuh yang telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan, malah JMG telah membuat penilaian serta menjalankan pemantauan berterusan di tapak kejadian tanah runtuh berkenaan.

Menurut laporan itu, 10 lagi tapak kejadian tanah runtuh sedang dalam tindakan secara berperingkat mengikut keutamaan antaranya membabitkan kawasan di Taman Keramat dan Jalan Kia Peng, di sini.

Selain itu di Selangor melibatkan antaranya Taman Zooview; Riverdale Park Apartment, Ampang; Jalan Wangsa 1; Taman Melur, Ampang; Kampung Sungai Kelambu, Banting; Ukay Perdana, Ulu Klang; Jalan Selayang-Rawang; Jalan Banglo, Batu Arang. - Bernama

Artikel Berkaitan: