SPM 2018 Selangor catat peningkatan GPN 0.03 peratus

Mohd Salleh (tengah) menunjukkan keputusan SPM 2018.
Mohd Salleh (tengah) menunjukkan keputusan SPM 2018.
A
A
A

SHAH ALAM - Gred Purata Negeri (GPN) bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di Selangor mencatatkan peningkatan sebanyak 0.03 peratus.

Pengarah Pendidikan Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim berkata, ia adalah pencapaian terbaik bagi tempoh tiga tahun berturut.

"Bagi SPM 2018, GPN diperoleh adalah sebanyak 4.89 peratus berbanding 4.92 peratus pada tahun 2017 dan 5.05 peratus pada 2016," katanya di Bilik Mesyuarat Jabatan Pendidikan Selangor di sini, hari ini. Menurutnya, keputusan tersebut menunjukkan kualiti pencapaian calon yang mendapat keputusan cemerlang tertinggi, cemerlang dan kepujian dalam mata pelajaran diambil adalah lebih membanggakan.

"Pencapaian GPN dan Gred Purata Sekolah diukur berdasarkan nilai mata dan semakin kecil nilai mata bermakna semakin baik pencapaian serta prestasinya.

"Malah sistem penggredan baru SPM ini dapat memperincikan kecemerlangan calon apabila diperkenalkan gred yang lebih tinggi daripada sistem lama yang menggunakan gred 1A," katanya,

Mohd Salleh berkata, bilangan calon SPM 2018 di negeri ini yang layak mendapat sijil turut menunjukkan peningkatan sebanyak 0.21 peratus daripada 54,093 calon berbanding 57,313 calon pada 2017.

Mohd Salleh bersama pelajar cemerlang SPM 2018.
Mohd Salleh bersama pelajar cemerlang SPM 2018.

Menurutnya, peratus calon mendapat gred cemerlang (A+, A atau A-) bagi semua mata pelajaran yang diduduki dalam SPM 2018 turut meningkat sebanyak 0.12 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

"Seramai 20 calon sekolah di bawah Kementerian Pendidikan berjaya memperoleh A+ bagi semua mata pelajaran dan seramai 1,510 lagi memperoleh kombinasi A+, A dan A-.

"Selain itu, seramai 39,648 calon lulus semua mata pelajaran (A+ hingga E) yang mereka duduki pada SPM 2018 berbanding 39,080 calon pada 2017 dan ia juga peningkatan positif," katanya.

Mohd Salleh berkata, rumusan pencapaian mata pelajaran bagi SPM 2018 pula menunjukkan sebanyak 16 mata pelajaran mencapai lulus 100 peratus dan 20 mata pelajaran menunjukkan peningkatan peratus lulus.

Sementara itu, pada majlis sama, beliau turut menyampaikan anugerah kepada pelajar SPM 2018 yang cemerlang dalam enam kategori ditetapkan.