Pembinaan EKVE antara punca banjir lumpur di Hulu Langat: PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media selepas program gotong-royong Keluarga Malaysia di sekitar Hulu Langat hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media selepas program gotong-royong Keluarga Malaysia di sekitar Hulu Langat hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

HULU LANGAT - Pembinaan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) dipercayai menjadi antara punca berlakunya banjir lumpur di sekitar daerah Hulu Langat baru-baru ini.

Jelas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia memandangkan kawasan projek tersebut telah menyebabkan beberapa saliran longkang sekitarnya tersumbat.

"Banjir ini bukan saja disebabkan oleh air hujan, tetapi (tinjauan) di Taman Sri Nanding tadi kerana projek EKVE. Longkang tertutup dan sebagainya, menyebabkan banjir lebih cepat berlaku," katanya pada sidang media selepas program gotong-royong Keluarga Malaysia di sekitar Hulu Langat hari ini.

Sebelum ini Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin mendakwa sisa pembinaan di tapak projek tersebut mungkin telah menyebabkan aliran beberapa sungai di sekitarnya tersumbat.

Zuraida juga telah mendesak agar Perbandaran Ampang Jaya memainkan peranan bagi memastikan projek pembangunan lebuh raya itu tidak memberi risiko kepada kawasan-kawasan sekitarnya. - Awani

Artikel Berkaitan: