KKLTAT rayu isu kebajikan pekerja diberi perhatian penuh

Zulharith ketika sidang akhbar di ibu negara pada Ahad membangkitkan isu kebajikan pekerja LTAT yang belum mendapat perhatian pengurusan.
Zulharith ketika sidang akhbar di ibu negara pada Ahad membangkitkan isu kebajikan pekerja LTAT yang belum mendapat perhatian pengurusan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Kakitangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (KKLTAT) merayu campur tangan Kementerian Pertahanan agar beberapa tuntutan yang dibuat mereka kepada pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sejak tiga tahun lalu diberi perhatian.

Presidennya, Zulharith Shahrizzan Kumar Abdullah berkata, pihaknya telah memperjuangkan isu kebajikan kakitangan LTAT dengan melakukan rundingan sejak 2018 termasuk menghantar surat rasmi kepada pihak pengurusan namun sehingga kini belum ada perkembangan positif yang diterima.

Menurutnya, isu utama yang dibangkitkan adalah penafian hak kakitangan yang berkhidmat sebelum 1 Oktober 2018 untuk diberikan pelarasan gaji melalui Semakan Semula Skim Gaji dan Skim Perkhidmatan setiap lima tahun yang sepatutnya berkuatkuasa pada 1 Januari 2020.

"Namun sehingga kini, sudah hampir dua tahun, ia masih belum dilaksanakan. Kami juga menuntut, jika perlaksanaan ini dibuat pada tahun hadapan, agar dibayar tunggakan kerana ia berkuat kuasa 1 Januari 2020. Kami mendapat tahu secara tidak rasmi bahawa mereka tidak akan bayar. Jadi kami yang kebanyakannya adalah B40 merasakan tindakan ini tidak wajar kerana ia adalah hak kami, gaji kami, bukan elaun.

"Sudah banyak kali kami cuba berunding dengan meminta sebarang kertas kerja dibentangkan kepada kami supaya dapat diperhalusi agar pelarasan lebih seimbang, namun tidak dilayan.

"Surat kepada Kementerian Pertahanan telah dihantar sejak 2018, kemudian ketika pertukaran kerajaan, sehinggalah terkini. Jadi, sekarang ini kami harapkan, ada berita baik yang boleh kami dengar daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein," katanya pada sidang akhbar di sini pada Ahad.

Zulharith menambah, selain pelarasan gaji, pihaknya juga menuntut perhatian LTAT agar membekukan pengambilan pegawai baharu dan meneliti semula pewujudan jawatan-jawatan baharu yang tiada keperluan kerana menjadi punca kepada peningkatan kos operasi.

Katanya, pengurusan LTAT juga diharap agar lebih telus dan bijak dalam isu pemindahan operasi LTAT ke Chulan Tower kerana alasan yang diberikan sangat lemah dan pincang.

Artikel Berkaitan:

"Faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos operasi dan pentadbiran yang paling ketara adalah pengambilan kakitangan baharu secara tetap dan kontrak di peringkat profesional, Pengurusan Pertengahan dan Pengurusan Tertinggi atas nama Transformasi dan mereka ditawarkan gaji yang tinggi melebihi 'market practice'," ujarnya.

Zulharith pada masa sama berkata, pihaknya juga menafikan ada membuat ugutan kepada pihak pengurusan LTAT termasuk tuduhan bahawa KKLTAT menjadi tunggangan kepada mana-mana pihak untuk mencapai kepentingan sekelompok.

Sebaliknya, beliau berkata, KKLTAT mahu menjaga kepentingan ahlinya terdiri daripada 150 individu yang juga hampir 50 peratus daripada seluruh kakitangan LTAT selain mahu memastikan LTAT mempunyai hala tuju yang lebih jelas.

"Kami tiada kepentingan. Kami sayang LTAT ibarat rumah kedua kami. Namun kami mahu kebajikan kami dibela kerana kami juga mempunyai tanggungan dan tanggungjawab memastikan masa depan anak-anak kami terbela," katanya.