Semua tenggelam kecuali dua Al-Quran

Raja Hasnah menunjukkan al-Quran miliknya yang tidak terkesan ketika banjir pada 18 Disember lalu.
Raja Hasnah menunjukkan al-Quran miliknya yang tidak terkesan ketika banjir pada 18 Disember lalu.
A
A
A

HULU LANGAT - Habis semua harta musnah ditenggalami air namun yang tinggal hanya dua naskhah al-Quran yang ditemukan dalam keadaan baik selepas kejadian banjir melanda di Taman Sri Nanding pada 18 Disember lalu.

Bekas guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Raja Hasnah Raja Saidin, 56, berkata, al-Quran itu ditinggalkan di atas meja makan rumahnya dan tidak sempat dialihkan susulan mereka meninggalkan rumah dalam keadaan panik selepas paras air naik dengan mendadak.

Bagaimanapun menurutnya, sewaktu pulang ke rumah sehari selepas kejadian didapati al-Quran tersebut tidak rosak atau terkena air walaupun rumah sudah dipenuhi lumpur.

"Kalau lihat kesan lumpur, air naik hampir satu meter dan habis semua barang dalam rumah tunggang terbalik, peti air beralih sampai ke pintu utama tapi ajaibnya al- Quran yang selalu saya gunakan tidak terkesan apa-apa.

"Situasi ini menunjukkan kebesaran ALLAH SWT. Mungkin ALLAH SWT mahu berikan peringatan kerana kita sibuk mengajar harta dunia dan al-Quran yang ditinggalkan itu untuk saya khatamkan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Bercerita lanjut katanya, dia tidak menyangka banjir yang melanda kawasan tersebut seburuk itu sehingga menyebabkannya kerugian mencecah RM20,000 apabila hampir keseluruhan barangan di rumahnya tidak dapat diselamatkan.

"Kawasan ini memang selalu banjir tapi kebiasaannya hanya paras buku lali sahaja. Sebab itulah apabila anak bagi tahu suruh selamatkan diri saya minta habiskan mengaji dahulu.

Al-Quran yang ditemui elok semasa hari kejadian.
Al-Quran yang ditemui elok semasa hari kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Namun, saya terpaksa akur apabila anak memberitahu jalan utama air sudah mencapai paras pinggang dan saya bersama dua anak serta menantu terus tinggalkan rumah untuk mencari tempat selamat sekitar jam 9 malam," ujarnya.

Raja Hasnah berkata, dia berjalan hampir 1.5 kilometer mencari tempat perlindungan selepas air yang pada mulanya berada pada paras kurang 0.5 meter naik sehingga 1 meter.

"Mulanya kami duduk di surau di taman perumahan kami selama sejam sebelum mengambil keputusan berjalan kaki ke surau SRA Dusun Nanding selepas air naik sampai paras ke leher.

"Bagaimanapun kami tidak dapat ke sana kerana arus terlalu deras menyebabkan kami berpatah balik dan berteduh di kawasan kedai di Legenda Suria sehingga bantuan tiba," katanya.

Kongsinya, ketika meredah banjir, dia hanya memikirkan nasib rakan-rakannya yang masih berada di surau di taman perumahan terbabit.

"Ada yang uzur dan strok tidak dapat berjalan masih terperangkap di surau sewaktu air semakin naik, tetapi Alhamdulillah kesemua mereka terselamat dan sempat memanjat bumbung surau," katanya.

Dia memanjatkan kesyukuran kerana terselamat dalam musibah tersebut dan bercadang untuk bersedekah makanan selepas semua urusan mengemas rumah selesai.