Banjir gelombang ketiga, penduduk Kampung Pasir Raja diminta waspada

Hanafiah
Hanafiah
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Penduduk di daerah Dungun khususnya sekitar Kampung Pasir Raja diminta bersiap sedia berdepan dengan banjir gelombang ketiga yang diramalkan berlaku pada 30 dan 31 Disember nanti.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, ia susulan jangkaan dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di beberapa kawasan di Terengganu pada tarikh tersebut.

Menurutnya, antara persediaan dan langkah awal yang perlu diambil penduduk termasuk menyimpan barangan ke tempat selamat dan segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila air melimpah.

“Saya mohon kepada semua penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya sentiasa berwaspada dengan kemungkinan banjir dan sekiranya air naik, keluar dari rumah dan berpindah ke PPS dengan segera.

“Semua agensi kerajaan sudah bersiap sedia untuk mengawal selia jika berlaku keadaan luar biasa di Sungai Dungun yang dijangka melepasi paras bahaya pada tarikh berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Ahad.

PRABN pada Sabtu mengeluarkan ramalan awal kemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan di Terengganu pada 30 hingga 31 Disember ini susulan ramalan cuaca signifikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Ramalan itu menyebut aras air Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun dijangka melepasi paras bahaya pada tarikh tersebut yang menyebabkan kawasan rendah di sana berisiko mengalami banjir.

Sementara itu, Hanafiah yang juga Pengerusi Khidmat Malaysia Terengganu memaklumkan sukarelawan dihantar ke Kuantan, Pahang melebihi sasaran apabila seramai 1,600 orang menyertai misi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional itu berkata, jangkaan awal hanya melibatkan 800 sukarelawan, namun jumlahnya meningkat sekali ganda berikutan keprihatinan rakyat negeri ini.

“Kita hanya mahu 100 orang bagi setiap kawasan tapi ramai yang menawarkan diri menyertai misi ini dengan daerah Kemaman sendiri disertai oleh 300 sukarelawan.

“Kumpulan kedua sudah bertugas di sana bermula semalam dan seramai 500 sukarelawan dalam kalangan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan membantu di kawasan Temerloh dan Mentakab pada Selasa ini,” katanya yang turut menyertai misi berkenaan.