Pasukan Bencana Istana Negara bantu mangsa banjir

Pasukan Bencana Istana Negara mengadakan misi bantuan kepada mangsa banjir di empat daerah di Selangor, pada Sabtu. Foto Facebook Istana Negara
Pasukan Bencana Istana Negara mengadakan misi bantuan kepada mangsa banjir di empat daerah di Selangor, pada Sabtu. Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan Bencana Istana Negara yang ditubuhkan atas cetusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengadakan misi bantuan kepada mangsa banjir di empat daerah di Selangor, pada Sabtu.

Istana Negara dalam catatan yang dimuat naik di Facebook rasmi pada Ahad memaklumkan, empat daerah berkenaan meliputi Klang, Shah Alam, Hulu Langat dan Kuala Langat.

“Pasukan Bencana Istana Negara ini ditubuhkan atas cetusan idea Seri Paduka Baginda dengan tujuan menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang telah kehilangan tempat berteduh dan mengalami kerugian besar akibat kemusnahan harta benda susulan bencana banjir.

Pasukan itu turut membantu membersihkan masjid dan kediaman mangsa banjir yang terjejas. Foto Facebook Istana Negara
Pasukan itu turut membantu membersihkan masjid dan kediaman mangsa banjir yang terjejas. Foto Facebook Istana Negara

“Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap nasib mangsa banjir dan amat bersimpati dengan ujian serta keperitan yang ditanggung mereka dan menzahirkan harapan semoga bantuan serta sumbangan yang dihulurkan dapat mengurangkan beban mereka,” menurut catatan itu.

Pasukan Bencana Istana Negara diterajui Brig Jen Datuk Mohd Zahari Yahya, yang merupakan Juruiring Udara kepada Al-Sultan Abdullah.

Menurut catatan itu seramai 120 pegawai dan kakitangan Istana Negara tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan berbentuk barang keperluan harian seperti kelengkapan dandanan diri, pakaian, tuala, makanan kering dan air serta kit Covid-19 kepada mangsa banjir.

Artikel Berkaitan:

Pasukan itu turut membantu membersihkan masjid dan kediaman mangsa banjir yang terjejas. - Bernama