X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Seorang jemaah umrah Melaka positif varian Omicron

DR MUHAMAD AKMAL
A
A

MELAKA - Melaka mengesan kes pertama Covid-19 varian Omicron di negeri ini membabitkan seorang warganegara yang baru pulang mengerjakan umrah baru-baru ini.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Dr.Muhamad Akmal Saleh berkata, wanita berusia 34 tahun itu berada di Arab Saudi bersama suaminya serta ahli keluarga pada 4 Disember hingga 15 Disember lalu.

Menurutnya, individu itu bertolak pulang dari Jeddah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz dengan pesawat Saudi Airlines (SV3842) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 Disember lalu.

Katanya, pasangan suami isteri itu menjalani ujian swab PCR Covid-19 ketika tiba di KLIA sebelum pulang ke Melaka menaiki van persiaran yang disediakan ejen umrah.

"Pada 18 Disember lalu, keputusan ujian swab PCR diperoleh dan individu itu disahkan positif Covid-19 lalu dirujuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Bukit Serindit.

"Bagaimanapun pada Sabtu ( semalam) kes disahkan positif Covid-19 varian Omicron dan individu itu telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Melaka untuk tujuan pemantauan rapi," katanya pada sidang akhbar di pejabat Kesihatan Negeri Wisma Persekutuan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC) Ayer Keroh, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut beliau berkata, jemaah umrah yang bersama dalam kapal terbang, sekiranya tidak dihubungi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diharap melakukan kuarantin kendiri dan saringan Covid-19.

Menurut beliau, setakat ini lima daripada sembilan kontak rapat wanita itu disahkan positif Covid-19 iaitu empat individu di Melaka dan seorang di Kuala Lumpur dan kini berada dalam keadaan stabil.

Katanya, kontak rapat yang dikesan termasuk lapan ahli keluarganya iaitu enam di Melaka manakala dua di Kuala Lumpur yang turut mengerjakan umrah bersama.

"Kontak rapat lain ialah ialah pemandu van ejen umrah. Kesemua kontak rapat sudah diarahkan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian selama 14 hari dan ujian swab PCR.

Tambah beliau, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka masih menjalankan siasatan lanjut dengan terperinci terhadap kes varian Omicron dan siasatan kontak rapat juga diteruskan untuk mengesan kesemua ahli kumpulan seramai 41 orang yang mengerjakan umrah bersama kes.

"Saya memohon orang ramai merujuk kenyataan rasmi KKM dan JKN Melaka untuk sebarang perkembangan kes Omicron ini," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!