Muafakat Nasional: Kelantan tunggu maklum balas Pas Pusat

Ahmad (empat dari kiri) dan Wan Roslan (tiga dari kiri) bersama para peserta membaca doa sebelum acara pelepasan Tumpat Monsoon Ride 2021 di Maahad Muhammadi, Tumpat pada Ahad.
Ahmad (empat dari kiri) dan Wan Roslan (tiga dari kiri) bersama para peserta membaca doa sebelum acara pelepasan Tumpat Monsoon Ride 2021 di Maahad Muhammadi, Tumpat pada Ahad.
A
A
A

TUMPAT - Pas Kelantan menunggu maklum balas daripada Pas Pusat berkait perbincangan bagi menentukan hala tuju masa depan parti itu dengan UMNO dalam Muafakat Nasional di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berkata, pihaknya mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan Pas peringkat negeri pada Sabtu lalu dan sepakat memutuskan untuk menunggu jawapan daripada Pas Pusat berkaitan hal berkenaan.

“Perkara ini lebih kepada dasar parti dan perlu menunggu maklum balas daripada Pas Pusat.

“Kita bermesyuarat dan menunggu respons mereka. InsyaALLAH, kita mendoakan agar akan ada banyak kebaikan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas acara pelepasan Tumpat Monsoon Ride 2021 di Maahad Muhammadi, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat.

Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas berkata demikian ketika diminta mengulas berkait surat rasmi daripada Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berhubung perkara itu pada Ahad lalu.

Beliau berkata, surat tersebut sudah diterima pihaknya dan jawapan serta penentuan tarikh perbincangan berkait hal itu juga bergantung kepada pusat.

Sementara itu Ahmad berkata, acara Tumpat Monsoon Ride itu disertai oleh 240 peserta berusia antara 17 sehingga 65 tahun yang mengayuh sejauh 30 kilometer di sekitar laluan termasuk trek berlumpur di tepi Sungai Kelantan di Tumpat.

Artikel Berkaitan:

“Acara sukan berbasikal akhir-akhir ini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat terutama anak muda dan penglibatan itu sangat dihargai kerana akan memperoleh tubuh badan serta mental yang sihat.

“Di samping menjaga kesihatan, mereka juga perlu berakhlak mulia dan penglibatan acara berbasikal ini diharap dapat mengekang daripada terbabit dalam perkara negatif,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan UMNO Kelantan mengutuskan surat rasmi kepada Pas negeri itu bertujuan mengadakan pertemuan bagi membincangkan hala tuju serta memuktamadkan kedudukan Muafakat Nasional pada peringkat negeri.

Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang dalam Facebook rasminya turut menyifatkan Muafakat Nasional ibarat digantung tidak bertali.