X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

Jumlah mangsa banjir di PPS lima negeri terus menurun

Sampah sarap pukal untuk dilupuskan setelah proses pembersihan dijalankan selepas banjir surut disalah satu kawasan dilanda banjir di Shah Alam. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Mangsa banjir di 233 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri menurun kepada 37,526 orang pada jam 10 malam ini, berbanding 40,738 orang mangsa di 257 PPS pada jam 6 petang tadi.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kesemua mangsa melibatkan 11,019 keluarga.

Di SELANGOR, aplikasi InfoBencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 16,743 melibatkan 3,693 keluarga di 87 PPS berbanding 16,953 mangsa yang ditempatkan 88 PPS petang tadi.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat yang dijangka berlaku di lima daerah iaitu di Gombak; Hulu Selangor; Petaling; Hulu Langat dan Sepang sehingga jam 11 malam ini.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan seramai 21,726 orang mangsa banjir masih ditempatkan di 148 PPS di daerah Kuantan, Bera, Pekan, Maran, Temerloh dan Bentong setakat jam 8 malam ini.

Sekreteriat itu turut memaklumkan 36 jalan masih ditutup di empat daerah, antaranya di Temerloh melibatkan Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Jalan Gemas-Temerloh dan Jalan Temerloh-Mentakab, selain di Pekan melibatkan Jalan Teluk Ganchong Lepar, Pelak-Belimbing dan Jalan Mentiga Terapai.

Di daerah Maran, antara jalan ditutup ialah Jalan Pekan Sehari Kampung Awah, Jalan Serengkam dan Jalan Kampung Wau/Kertau, manakala di Bera melibatkan Jalan Gemas-Temerloh, Jalan Bohor Bahru, Jalan Charuk Puting-Guai selain Jalan Triang Satu.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula menyatakan tiga sungai kekal berada di paras melebihi bahaya iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku, Sungai Kundang (Maran) dan Sungai Bera (Bera), dengan trend menurun setakat 8.30 malam.

Di KELANTAN setakat jam 10 malam ini jumlah mangsa banjir kekal seramai 685 orang daripada 222 keluarga melibatkan lima PPS kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya manakala dua sungai berada paras waspada iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM), negeri Lt Kol (PA), Mohd Syukri Madnor berkata, mangsa banjir di negeri itu adalah 203 individu daripada 56 keluarga, dengan empat PPS masih dibuka di Jelebu setakat malam ini.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir kekal 29 daripada sembilan keluarga setakat jam 8 malam ini.

Pengarah APM Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, hanya satu PPS dibuka, iaitu di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu Kampung Parit Penghulu di Jasin.

“Kesemua mangsa kini berada di PPS tersebut manakala di Alor Gajah, semua PPS telah ditutup,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!