Banjir: JKM sangkal dakwaan tidak peduli mangsa orang asli

Foto Facebook JKM
Foto Facebook JKM
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyangkal dakwaan sebuah portal bahawa kerajaan tidak mempedulikan mangsa banjir Kampung Orang Asli Bukit Tadom, di Banting, Selangor.

JKM dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan penempatan dan pengurusan mangsa banjir kampung itu pada awalnya diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tadom.

“Bagaimanapun selepas PPS itu dinaiki air, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) menasihatkan dan meminta mangsa berpindah ke PPS SK Labohan Dagang untuk keselamatan.

“PKOB akur dengan keputusan penduduk Orang Asli untuk tidak berpindah ke PPS yang disediakan, sebaliknya meminta kekal berada di sekitar kampung. Susulan itu, Tadom Hill Resorts telah menyediakan khemah untuk penempatan sementara mereka,” menurut kenyataan itu.

JKM memaklumkan, JKM Kuala Langat menguruskan pendaftaran mangsa dan menyalurkan segala keperluan asas dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai.

JKM Kuala Langat turut mengagihkan bantuan bekalan makanan dan barangan keperluan asas termasuk toto, kain batik, kain pelikat dan air mineral seperti yang diberikan di PPS lain.

“Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun telah meluangkan masa di PPS tersebut dan menyerahkan bantuan kepada mangsa pada 22 Disember lepas manakala Timbalan Ketua Pengarah JKM Rosmahwati Ishak turut menyampaikan sumbangan kepada Tok Batin Hadi untuk diagihkan pada keesokannya,” menurut kenyataan itu.

Menurut JKM, pihaknya sentiasa memahami keperluan Keluarga Malaysia termasuk orang asli dan tidak pernah memilih kasih dalam berdepan situasi getir seperti banjir selain sentiasa bekerjasama dengan Jakoa untuk menangani permasalahan orang asli.- Bernama

Artikel Berkaitan: