Senarai nama atlet olahraga awal Mac depan

Mohd Manshahar
Mohd Manshahar
A
A
A

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) dijangka memuktamadkan senarai akhir barisan atlet ke Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada awal Mac depan.

Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, pihaknya akan menghantar senarai nama berkenaan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada tempoh tersebut, dan badan induk sukan tanah air itu akan menyerahkannya kepada penganjur Sukan SEA sebelum tarikh tutup 12 Mac depan.

Setakat ini, beliau berkata, pihaknya masih belum boleh mengesahkan slot secara rasmi atlet yang akan menggalas cabaran negara di Vietnam, selepas berakhir Kejohanan Olahraga Kebangsaan pada 18 dan 19 Disember lalu yang merupakan platform pemilihan atlet ke temasya dwitahunan itu.

Namun, beliau berkata, terdapat beberapa atlet yang memenangi acara masing-masing pada kejohanan kebangsaan baru-baru ini, berpotensi layak susulan pencapaian dianggap sudah melepasi had kelayakan Sukan SEA.

“Atlet dimaksudkan adalah dua atlet wanita Queenie Ting Kung Ni (lempar cakera) dan Grace Wong (lontar tukul besi) serta dua atlet lelaki, Muhammad Zulfiqar Ismail (100 meter) dan Iskandar Alwi (lompat bergalah).

“Bagaimanapun nama-nama disebutkan tadi belum layak secara rasmi, kerana barisan kejurulatihan masih mempunyai masa membuat penilaian terhadap prestasi atlet dalam beberapa kejohanan dianjurkan sebelum Sukan SEA tahun depan yang pastinya membuka peluang kepada atlet lain untuk terpilih ke Hanoi,” katanya baru-baru ini.

Mengulas mengenai prestasi atlet pada kejohanan berkenaan, beliau mengakui faktor cuaca terutamanya pada hari pertama menjejaskan persembahan mereka daripada melakar pencapaian membanggakan, di balapan mahupun padang.

“Secara keseluruhan, memang faktor cuaca mengganggu atlet namun saya tetap berpuas hati dengan prestasi mereka malah ada yang dapat membuat keputusan baik ketika beraksi dalam hujan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: