Baik pulih infrastruktur komunikasi terjejas banjir 60 peratus siap

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa bersama sukarelawan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Rumah Prihatin mengagihkan bantuan makanan dan barangan keperluan harian kepada mangsa banjir di Kampung Pulau Santap Janda Baik pada Program Prihatin Menteri Komunikasi dan Multimedia hari ini. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa bersama sukarelawan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Rumah Prihatin mengagihkan bantuan makanan dan barangan keperluan harian kepada mangsa banjir di Kampung Pulau Santap Janda Baik pada Program Prihatin Menteri Komunikasi dan Multimedia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BENTONG - Proses baik pulih infrastruktur komunikasi mudah alih yang terjejas akibat banjir di seluruh negara sedang dilipat ganda dan kini berada pada tahap 60 peratus siap, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, terdapat lebih 800 menara telekomunikasi yang dikenal pasti terjejas akibat bencana itu di seluruh negara dan kira-kira 500 siap dibaik pulih.

"Sebahagian daripada kerosakan berpunca akibat bekalan elektrik terputus manakala sebahagian lagi disebabkan peralatan tenggelam dan memerlukan penggantian," katanya kepada pemberita pada program bantuan pascabanjir di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, kementeriannya juga mengambil langkah menyediakan generator di lokasi infrastruktur komunikasi yang tiada bekalan elektrik selain pemasangan 'Coverage on Wheels' (COW) iaitu sistem pemancar mudah alih bagi memberi liputan perkhidmatan sementara yang lazimnya digunakan sewaktu bencana dan kecemasan oleh pembekal perkhidmatan.

Annuar sebelum itu mengetuai misi pascabanjir di Janda Baik, Bentong, Karak dan Temerloh di Pahang bermula jam 10 pagi Sabtu.

Misi tersebut menyerahkan bantuan barangan keperluan seperti bakul makanan, selimut, tilam dan tuala kepada lebih 1,000 penerima.

Ditanya mengenai pertikaian berkenaan aduan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkaitan beberapa hantaran dan tanda pagar jelik kepada pihak penyedia platform Twitter, Annuar menegaskan tindakan itu dibuat berdasarkan akta dan demi kepentingan awam.

Beliau berkata, tindakan juga diambil susulan aduan daripada orang awam mengenai hantaran dan tanda pagar jelik yang disifatkan boleh menimbulkan ketegangan dan berunsur hasutan.

Artikel Berkaitan:

"Bila ada aduan (daripada pengguna), SKMM kena bertindak, sama ada Twitter nak layan atau tak, itu soal lain," katanya.

Bagaimanapun, Annuar berkata, pihaknya menghormati keputusan pengurusan media sosial itu dan memahami pihak tersebut mempunyai polisi dan pandangan tersendiri.

Sebelum ini isu berkenaan aduan SKMM untuk menurunkan beberapa hantaran dan tanda pagar yang disifatkan jelik kepada pihak Twitter menjadi tular dan perbualan hangat netizen. - Bernama