X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

JKNS nafi tuduhan ambil organ mayat warga Indonesia

Gambar hiasan 123rf.
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan dakwaan laporan sebuah media Indonesia, mengenai pengambilan organ dalaman daripada seorang warga negara itu yang meninggal dunia, selepas dibedah siasat pada 7 Disember lalu di Hospital Queen Elizabeth, di sini.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, semua organ telah dikembalikan bersama jenazah dikenali Sadiman Hamal, 38, apabila ditemukan meninggal dunia di sebuah kapal pada 1 Disember lepas, sebelum disahkan kematiannya berpunca daripada jangkitan paru-paru dan sakit jantung.

Katanya, setiap sampel tisu yang diambil adalah berukuran 1 inci x 1 inci (2.54 sentimeter x 2.54 sentimeter), dan pegawai perubatan forensik telah menerangkan kepada saudara mangsa bahawa beberapa sampel tisu kecil daripada organ akan diambil, untuk dihantar ke makmal bagi mengetahui punca kematian.

“Pihak hospital dimaklumkan polis, mangsa tidak mempunyai waris terdekat di negara ini namun polis berjaya mengesan beberapa individu yang mengaku saudara Sadiman, serta mengenali waris terdekatnya di Indonesia sebelum salah seorang daripada mereka membuat pengecaman mayat mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Dr Rose Nani berkata, pegawai perubatan forensik yang mengendalikan bedah siasat itu telah menerangkan keputusan bedah siasat kepada saudara mangsa, dan individu berkenaan akan menyampaikan maklumat kepada waris mangsa di Indonesia.

Beliau berkata, pihak majikan telah menguruskan proses penghantaran jenazah yang telah dimandikan dan dikafankan, sebelum dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 17 Disember dan jenazah selamat tiba di Indonesia pada 20 Disember lalu.

“JKNS menyampaikan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan semua urusan bedah siasat serta proses penghantaran mayat mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Baru-baru ini media tempatan Indonesia mendakwa jenazah yang berasal dari Polewali Mandar, Indonesia yang bekerja di Sabah, dihantar kepada waris tanpa organ dalaman. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!