Lebih 43,000 mangsa banjir di PPS empat negeri

Mangsa banjir memilih pakaian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kota Warisan ketika tinjauan. Foto Bernama
Mangsa banjir memilih pakaian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kota Warisan ketika tinjauan. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Hilir Perak yang dibuka sejak Ahad lepas ekoran banjir ditutup sepenuhnya pada 12.30 tengah hari Sabtu.

Pegawai Daerah Hilir Perak, Saidi Shaari dalam kenyataan berkata, 95 mangsa dari 24 keluarga yang berada di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan dan PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Setelah mendapat nasihat dan meneliti keadaan kawasan berlaku bencana banjir telah beransur baik, semua mangsa dibenarkan kembali ke rumah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, situasi banjir di beberapa negeri lain tidak banyak berubah dengan 43,289 orang masih berada di pusat pemindahan setakat 12 tengah hari Sabtu.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan 25,104 mangsa banjir masih ditempatkan di 172 PPS membabitkan daerah Kuantan, Maran, Pekan, Bera, Temerloh, Bentong dan Lipis, manakala kesemua PPS di Raub dan Jerantut telah ditutup.

Sekretariat itu turut memaklumkan 36 jalan masih ditutup di empat daerah antaranya di Temerloh melibatkan Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Jalan Gemas-Temerloh dan Jalan Temerloh-Mentakab, selain di Pekan melibatkan Jalan Teluk Ganchong Lepar dan Pelak-Belimbing.

Di daerah Maran, antara jalan ditutup ialah Jalan Pekan Sehari Kampung Awah, Jalan Serengkam dan Jalan Kampung Wau/Kertau manakala di Bera melibatkan Jalan Gemas-Temerloh, Jalan Bohor Bahru selain Jalan Charuk Puting-Guai.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula menyatakan tiga sungai kekal berada di paras melebihi bahaya iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku, Sungai Kundang (Maran) dan Sungai Bera (Bera).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus menerusi catatan di laman Facebook memaklumkan Pejabat Kesihatan Daerah turut menjalankan aktiviti kawalan lipas, lalat dan tikus di PPS bagi mengelak penularan penyakit berjangkit bawaan haiwan perosak itu.

Di SELANGOR, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan 17,336 mangsa banjir daripada 4,833 keluarga masih ditempatkan di 90 PPS di negeri itu.

Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melalui Facebook rasminya meminta agensi, badan bukan kerajaan, individu dan sukarelawan yang ingin menyertai aktiviti pembersihan pascabanjir di kawasan Shah Alam untuk mendaftarkan diri secara berkumpulan di bilik Gerakan Pantas, Wisma MBSA atau menghubungi 03-55105811.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir mencatatkan sedikit penurunan kepada 814 orang daripada 258 keluarga pada tengah hari, berbanding 974 orang pagi Sabtu dengan kesemua mereka ditempatkan di lima PPS di jajahan Pasir Mas.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan dua sungai berada di paras waspada iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Melaka kekal 35 orang daripada 12 keluarga, menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra.

Beliau berkata, kesemua mangsa berkenaan ditempatkan, masing-masing satu PPS di daerah Alor Gajah dan Jasin. - Bernama