Agong titah kerajaan lakukan pascanilai atasi banjir di bandar

Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni salah sebuah keluarga mangsa banjir di kediaman mereka di sekitar Taman Seri Muda Seksyen 25, pada Sabtu. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni salah sebuah keluarga mangsa banjir di kediaman mereka di sekitar Taman Seri Muda Seksyen 25, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Sabtu bertitah agar pihak kerajaan mengadakan pascanilai berkenaan sistem perparitan bagi memastikan kejadian banjir kilat di kawasan bandar dapat diatasi.

“Saya (Beta) menyarankan pihak kerajaan untuk mengadakan pascanilai dari segi perparitan di sekitar bandar, mudah-mudahan dapat kurangkan kejadian seperti banjir kilat untuk berlaku semula,” titah Seri Paduka kepada Bernama selepas mengadakan lawatan di Masjid Taman Sri Muda, serta kawasan di sekitarnya yang terjejas teruk akibat banjir, pada Sabtu.

Seri Paduka turut mencadangkan sekiranya institusi kewangan dapat memainkan peranan mengurangkan bebanan mangsa banjir dengan memberi kelonggaran bagi membantu mereka menampung kerugian yang dialami.

“Pihak syarikat insurans, umpamanya boleh membantu mengurangkan bebanan mangsa banjir ini dengan menampung sebahagian ganti rugi (kerosakan) kenderaan yang terlibat.

"Institusi perbankan pula boleh membantu mangsa banjir dengan memberi kelonggaran bagi bayaran ansuran bulanan tertangguh atas pinjaman perumahan mereka yang terkesan," titah Al-Sultan Abdullah.

Al-Sultan Abdullah yang menyantuni dan memberikan sumbangan kepada penghuni Taman Sri Muda menzahirkan rasa kagum terhadap kecekalan ditunjukkan penduduk terjejas akibat bencana itu.

"Saya (Beta) pergi rumah ke rumah, alhamdulillah nampak mereka kental untuk meneruskan kehidupan. Terima kasih juga kepada badan bukan kerajaan dan sukarelawan yang terlibat untuk membantu.

“Saya (Beta) difahamkan ada kawan-kawan dari Kelantan dan Pahang pun turun untuk bantu, ini menunjukkan semangat mereka untuk membantu mereka yang memerlukan," titah Seri Paduka.

Artikel Berkaitan:

Turut mengiringi Seri Paduka ketika lawatan berkenaan Raja Muda Selangor; Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Menteri Besar Selangor; Datuk Seri Amirudin Shari, Panglima Angkatan Tentera Jeneral; Tan Sri Affendi Buang dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.-- Bernama