Larangan remaja keluar waktu malam belum sesuai dilaksana

 Dr Wan Azizah Wan Ismail - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Dr Wan Azizah Wan Ismail - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan berpendapat larangan terhadap kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun berada di luar rumah pada waktu malam masih belum sesuai untuk dilaksanakan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata keadaan itu disebabkan beberapa faktor termasuk ketiadaan ibu bapa di rumah untuk memantau anak mereka kerana melaksanakan lebih daripada satu pekerjaan bagi menampung kos sara hidup.

"Terdapat juga keperluan untuk kanak-kanak berada di luar rumah pada waktu malam seperti kelas tuisyen, aktiviti sukan dan agama di surau.

"Terdapat juga kanak-kanak yang bekerja bagi membantu menyara keluarga daripada segi sosio ekonomi seperti yang dibenarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi kanak-kanak berumur 15 tahun ke atas kerana pendidikan sekunder kita juga belum diwajibkan,” katanya Di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) yang ingin tahu keputusan kerajaan berhubung cadangan perintah berkurung kepada remaja di bawah umur 18 tahun seperti yang dinyatakan awal tahun ini.

Dr Wan Azizah bagaimanapun berkata kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan larangan itu secara rintis di kawasan berisiko tinggi (hotspot), selain mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak mereka berada di kawasan selamat pada setiap waktu tanpa melepaskan tanggugjawab itu kepada kerajaan.

Kementerian juga, katanya, sedang bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Belia dan Sukan untuk mengenal pasti profesional terlatih dalam bidang sukan, kerja amal, drama, tarian dan seni mempertahankan diri untuk memimpin program bagi remaja selepas waktu sekolah atau ketika musim cuti sekolah.

"Sebenarnya remaja tidak tahu aktiviti apa nak isi pada masa lapang, jadi kalau ada kita sediakan alternatif aktiviti untuk mengisi masa, mereka akan ada aktiviti sihat untuk dilakukan dan menjauhi perkara negatif seperti dadah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya sebuah projek rintis yang diusahakan kementerian untuk menyediakan perkhidmatan sosial seperti tuisyen percuma kepada kumpulan sasar di Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak juga menunjukkan sambutan menggalakkan dalam usaha menyediakan ruang sosial yang selamat kepada kanak-kanak. -Bernama