AGC tolak representasi Doan gugur kes bunuh Jong-nam

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi wanita warga Vietnam untuk menggugurkan pertuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam, yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad memberitahu keputusan jabatan itu semasa prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azmi Ariffin hari ini.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan Thi Huong, 30, berkata pihaknya amat kecewa dengan keputusan berkenaan.

"Terdapat diskriminasi yang sangat jelas terhadap anak guam saya kerana dalam kes ini, mahkamah telah memutuskan wujudnya kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh... mereka berdua mengemukakan pembelaan yang sama di mahkamah.

"Kedua-dua tertuduh menyatakan menerusi peguam masing-masing bahawa mereka sedang melakukan rakaman video aksi gurauan. Melaui peguam juga mereka menegaskan bahawa mereka dijadikan kambing hitam oleh Korea Utara,” katanya.

Isnin lepas, Hisyam berkata pihaknya akan mengemukakan representasi kepada AGC bagi mengkaji semula pertuduhan terhadap Doan selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan ke atas Siti Aisyah, 26, warga Indonesia mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Doan dan Siti Aisyah, 26, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas, membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) kira-kira 9 pagi pada 13 Feb 2017.

Bagaimanapun, Isnin lepas, Siti Aisyah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi sama atas pertuduhan membunuh selepas pihak pendakwaan memaklumkan untuk menarik balik pertuduhan ke atasnya.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 Ogos 2018, mahkamah memerintahkan Siti Aisyah dan Doan membela diri atas pertuduhan membunuh Kim Chol.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - Bernama