KKM siasat kes Omicron libatkan warga Indonesia

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melakukan siasatan lanjut kes Omicron seorang warga Indonesia yang baru pulang dari Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, KKM telah mendapatkan maklumat melalui Kedutaan Indonesia di Malaysia dan Kementerian Kesihatan Indonesia (KKI) berhubung kenyataan KKI bertarikh 23 Disember mengenai pengesanan kes positif Covid-19 dengan varian Omicron.

Menurutnya, kes adalah lelaki dan berumur 20 tahun yang dikesan susulan hasil ujian pada 16 Disember di Indonesia semasa dalam tempoh kuarantin selepas ketibaan dari Malaysia.

"Beliau pulang ke Indonesia pada 10 Disember dengan ujian Covid-19 adalah negatif semasa ketibaan.

"Hasil siasatan di Malaysia mendapati, kes merupakan tahanan di Depo Tahanan Semenyih apabila ditahan pada 22 September bersama tiga lagi rakan," katanya pada sidang akhbar, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mendapatkan maklumat mengenai kontak rapat kes serta punca jangkitan.

"Komunikasi dengan pihak Kedutaan Indonesia di Malaysia dan Kementerian Kesihatan Indonesia masih diteruskan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kes.

"KKM juga sedang bekerjasama dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia bagi menjalankan siasatan, pengesanan kontak kepada kes serta bagi langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya," katanya.

Artikel Berkaitan: