62 kes varian Omicron di Malaysia

Daripada 62 kes Omicron yang dikesan, 61 daripadanya adalah kes import, manakala satu kes masih dalam siasatan.
Daripada 62 kes Omicron yang dikesan, 61 daripadanya adalah kes import, manakala satu kes masih dalam siasatan.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 62 kes Covid-19 varian Omicron telah dikesan di Malaysia setakat ini, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, 61 kes merupakan jangkitan import dari luar negara, manakala satu kes lagi masih dalam siasatan yang disyaki jangkitan tempatan.

Menurutnya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 145 sampel kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara dari 15 sehingga 21 Disember.

"Daripada jumlah ini, 60 sampel menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron.

"Pada 24 Disember, 45 daripada 60 sampel presumptive ini telah disahkan varian Omicron melalui jujukan genom yang dijalankan oleh IMR.

"Sementara itu, Institute of Health and Community Medicine, Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS) telah mengesan sebanyak empat kes varian Omicron," katanya pada sidang akhbar pada Sabtu.

Mengulas mengenai kes yang disyaki merupakan jangkitan tempatan itu, Khairy berkata, satu kes Covid-19 varian Omicron telah dilaporkan di Sarawak pada 24 Disember.

"Kes ini merupakan seorang lelaki warganegara China berusia 38 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Sarawak selama tiga tahun. Kes telah menjalani ujian Covid-19 pada 18 Disember kerana mengalami demam dan batuk sejak 13 Disember.

Artikel Berkaitan:

"Keputusan sampel didapati positif Covid-19 dan kes telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di bawah Hospital Umum Sarawak pada 20 Disember.

"Sampel kes telah dihantar ke IHCM-UNIMAS untuk ujian genomic sequencing dan disahkan positif untuk varian Omicron pada 23 Disember.

"Kes tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh tiga tahun ini, telah lengkap vaksinasi dan keadaan beliau adalah stabil. Punca jangkitan masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching," katanya.

Beliau menjelaskan, seramai dua kontak telah dikenal pasti iaitu seorang pemandu kenderaan serta seorang lagi kontak sosial dan kedua-dua mereka telah diberi arahan kuarantin di stesen kuarantin untuk tempoh 14 hari.

Justeru, Khairy memaklumkan, KKM bersama lain-lain agensi telah mengambil tindakan memperkukuhkan kawalan di pintu masuk antarabangsa serta saringan ke atas golongan yang berisiko tinggi berikutan risiko penularan varian Omicron tersebut.

"Mulai 22 Disember, kerajaan negeri Sarawak juga telah memperkukuhkan kawalan pintu masuk antarabangsa dengan mewajibkan semua pengembara dari luar negara dikuarantin di pintu masuk antarabangsa yang pertama di Malaysia sebelum dibenarkan untuk memasuki Sarawak atau meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

"Mereka juga wajib memiliki keputusan RTPCR yang negatif sebelum diberi pelepasan daripada kuarantin," katanya.