Musim tengkujuh, ikan pekasam Paksu laris

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PASIR PUTEH - Musim tengkujuh ternyata memberi limpahan rezeki kepada pengusaha ikan pekasam, Hanafi Yaakob apabila jualannya meningkat sehingga RM3,000 sebulan berbanding hari-hari biasa.

Mengusahakan perniagaan tersebut sejak lebih 20 tahun lalu, warga emas berusia 78 tahun itu berkata, pendapatannya meningkat disebabkan mendapat lebih banyak bekalan ikan darat ketika musim tengkujuh.

"Limpahan air sungai yang membanjiri petak-petak sawah memberi peluang kepada nelayan sungai mendapat lebih banyak ikan darat dan saya akan membeli daripada mereka untuk diproses menjadi ikan pekasam.

"Antara jenis ikan yang dijadikan pekasam ialah lampam, lambak, loma, selat, sepat, puyu, haruan, tilapia dan patin," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kilangnya di Kampung Tasek Pauh di sini pada Khamis.

Mesra disapa Paksu Nafi, beliau berkata, tempoh yang diambil untuk menghasilkan ikan pekasam adalah dua hingga tiga minggu bergantung kepada saiz serta jenis ikan sebelum dijual kepada pelanggan.

Katanya, beliau mendapat bimbingan serta bantuan daripada beberapa agensi terutama Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memasarkan ikan pekasam tersebut.

"Selain penduduk tempatan, saya turut mendapat tempahan daripada pemborong di Kuala Lumpur, Johor, Terengganu, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Sepaket ikan pekasam seberat 250 gram ini dijual dengan harga RM5 dan enak digoreng bersama hirisan bawang serta cili," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: