Hentikan projek pembangunan berhampiran sungai

Keadaan di Taman Sri Muda pada Rabu berikutan banjir yang melanda taman perumahan berkenaan pada Sabtu lalu. - Foto Bernama
Keadaan di Taman Sri Muda pada Rabu berikutan banjir yang melanda taman perumahan berkenaan pada Sabtu lalu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar menggesa pihak berkuasa membuat kajian mendalam sebelum meluluskan sebarang projek pembangunan berhampiran sungai bagi mengelak banjir teruk seperti yang berlaku di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini berulang pada masa depan.

Dekan Fakulti Seni Bina Perancangan dan Ukur (FSPU) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Jamalunlaili Abdullah berkata, pemaju projek pembangunan juga perlu lebih sensitif mengenai isu alam sekitar sebelum membangunkansatu- satu kawasan bagi mengelak berlakunya banjir.

Mengambil contoh kawasan di Taman Sri Muda, beliau berkata, ia merupakan kawasan yang sensitif dan kerap berlaku banjir.

“Tengok kawasan mana yang boleh dan tidak boleh dibangunkan. Jika kawasan yang banyak berlaku banjir, maka perlu kajian mendalam sebelum beri kebenaran,” jelasnya.

Ujar Jamalunlaili, isu banjir yang berlaku di Klang dan Shah Alam membabitkan bencana yang jarang berlaku maka pihak berkaitan perlu memperkemaskan sistem pengurusan.

Menurutnya, tindakan pantas perlu diambil jika sudah mengenalpasti terdapat taburan hujan melebihi kebiasaan terutama bagi kawasan kepadatan penduduk yang tinggi.

“Sekiranya hujan dua kali ganda berbanding kebiasaan, negara tidak boleh mengelak daripada masalah banjir dan perlu bersedia," katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai cadangan pembinaan terowong seperti Terowong Lebuh raya SMART di Kuala Lumpur, Jamalunlaili berpendapat di Selangor agak sukar untuk dibina kerana situasinya tidak sama dengan Selangor.

Artikel Berkaitan:

“Kalau di Selangor pintasan ke laut dan air laut pasang, jadi saya tidak nampak pelaksanaan itu sebagai usaha untuk selesaikan isu banjir,” ujarnya. Pada masa sama katanya, sistem amaran banjir perlu ditambah baik supaya penduduk lebih bersedia untuk menyelamatkan diri dan barang berharga.