Banjir: 43 suspek ditahan kerana mencuri

Abdul Jalil Hassan
Abdul Jalil Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 43 suspek ditahan membabitkan 13 kertas siasatan berhubung kejadian kecurian dalam kawasan bencana banjir di Selangor sejak 17 Disember sehingga Khamis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya tidak menerima laporan berkenaan kejadian kecurian dalam kawasan banjir di negeri lain.

"Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak empat kes siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan (mencuri motosikal).

"Sembilan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menceroboh pasar raya atau kedai dengan maksud mencuri barang-barang dalam pasar raya atau kedai tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kesemua suspek terdiri daripada 40 lelaki dan tiga wanita.

Katanya, kesemua kes masih dalam siasatan dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin untuk tindakan lanjut.

"Orang ramai dinasihatkan sentiasa menjaga keselamatan diri dan harta benda di samping mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan demi keselamatan serta ketenteraman awam," katanya.

Artikel Berkaitan: