TNB salur bantuan RM4 juta kepada mangsa banjir

Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin
Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyalurkan bantuan sebanyak RM4 juta kepada mangsa banjir dengan masing-masing RM2 juta disalurkan kepada Yayasan Keluarga Malaysia dan bantuan secara langsung melalui Tabung Warga TNB Prihatin (TWTP).

Pengerusinya, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, bantuan RM2 juta tersebut merupakan geran padanan maksimum kepada jumlah kutipan TWTP yang disumbangkan oleh warga kerja syarikat utiliti itu dan Lembaga Pengarah TNB telahpun meluluskan RM500,000 sebagai pendahuluannya.

Menurutnya, TWTP yang pada asalnya ditubuhkan pada Jun lalu bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19, namun kini kutipan diteruskan untuk membantu mangsa banjir.

“Peruntukan RM4 juta ini adalah tambahan kepada kira-kira RM40 juta peruntukan kecemasan disediakan oleh TNB bagi kerja-kerja pemulihan khususnya membaik pulih aset dan infrastruktur bekalan elektrik di lapan negeri yang dilanda banjir,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ia adalah kali kedua TNB menyediakan geran padanan bagi TWTP di mana kali pertama sebanyak RM1.64 juta, sekali gus menjadikan lebih RM3.4 juta terkumpul pada bulan lalu dan diagihkan kepada lebih 6,000 penerima di seluruh Semenanjung.

“Tabung ini mendapat sokongan menyeluruh semua pihak termasuk kesatuan, persatuan dan kelab dalaman TNB, sekali gus mencerminkan nilai muafakat dan keprihatinan keluarga besar syarikat utiliti itu,” katanya,

Dalam perkembangan yang lain, menurut Hasan, sehingga pagi Jumaat, lebih 78 peratus iaitu 1,665 daripada 2,109 aset bekalan elektrik TNB yang terjejas dan dihenti tugas sejak banjir melanda Sabtu lalu, telah dipulihkan termasuk seratus peratus pemulihan di Kelantan, Terengganu, Melaka dan Perak.

Katanya, pasukan teknikal TNB akan bergegas masuk ke kawasan banjir sebaik keadaan mengizinkan bagi memulakan kerja-kerja pemulihan.

Artikel Berkaitan:

Justeru itu, beliau meminta orang ramai khususnya mangsa banjir agar bersabar dan bersama-sama memastikan kediaman benar-benar selamat sebelum bekalan elektrik disalurkan semula sekali gus terhindar daripada sebarang risiko berlaku renjatan.