Banjir: India, Turki tawar bantuan kepada Malaysia

Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Prihatin dengan nasib menimpa mangsa banjir, beberapa negara luar khususnya India dan Turki menyuarakan kesediaan untuk membantu Malaysia, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Bagaimanapun, beliau berkata, aset dan keupayaan negara masih lagi mencukupi dalam menjalankan operasi bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri yang terjejas.

“Saya ada berhubung dengan Menteri Luar negara berkenaan, jadi mereka tawarkan bantuan...saya rasa Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) juga ada terima tawaran lain, namun saya difahamkan aset dan pasukan kita masih mencukupi,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir di Kampung Surau Putih, Bukit Setongkol, di sini dan turut menyampaikan bantuan makanan serta barang keperluan kepada mereka.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan seramai 49,109 mangsa banjir masih ditempatkan di 325 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh negeri yang terjejas banjir setakat 6.20 petang Jumaat.

Sementara itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota mencadangkan agar mana-mana pihak yang ingin menghantar bantuan kepada mangsa banjir berhubung dengan ketua kampung atau pejabat daerah bagi memudahkan bantuan disalurkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: