Anwar dibenar rujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan yang dikemukakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk merujuk dua persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Hakim Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu dalam satu prosiding dalam kamarnya yang dihadiri peguam J. Leela yang mewakili Anwar.

Ketika ditemui pemberita sejurus selesai kes, Leela memaklumkan, mahkamah bersetuju dengan persoalan yang dibangkitkan pihak pemohon (Anwar) bahawa akta tersebut adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah serta tidak mempunyai kesan.

Beliau bagaimanapun membuat beberapa pindaan samaada akta itu menjadi undang-undang menurut pindaan yang tidak mengikut perlembagaan, tidak digubal mengikut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dan ia melanggar kebebasan bergerak yang dijamin oleh Perkara 9 (2) Perlembagaan Persekutuan.

"Kami kini menunggu Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh pendengaran,"katanya.

Pada 14 Oktober 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar selepas mendapati hanya Mahkamah Persekutuan yang mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu.

Beliau merayu terhadap keputusan itu dan ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 6 November tahun lalu.

Bagaimanapun, pada Mac lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Artikel Berkaitan:

Pada 13 November lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes saman itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi.

Pada 2 Ogos 2016, Anwar memfailkan saman terhadap kerajaan dan MKN bagi memohon deklarasi bahawa Akta MKN tidak mengikut perlembagaan.

Dalam saman itu, Anwar turut memohon deklarasi Seksyen 12 Akta Perlembagaan, Perkara 66(4) dan Perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah.

Beliau turut memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada mengambil sebarang tindakan mengikut akta itu.

Anwar mendakwa Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983 dan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1984 dan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994.

Melalui pindaan itu, Anwar mendakwa Perkara 66 sudah diubah daripada asasnya sedangkan Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk meminda Perlembagaan Persekutuan termasuk perkara itu.

Menurutnya, perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan Persekutuan.