20,134 premis diperiksa

Alexander (tengah) membuat tinjauan harga barang di sebuah pasar raya di Kuching pada Jumaat. - Foto Bernama
Alexander (tengah) membuat tinjauan harga barang di sebuah pasar raya di Kuching pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Sebanyak 20,134 premis di seluruh negara diperiksa menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) setakat Khamis.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 62 kes diambil tindakan kerana peniaga dikesan melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Antara kesalahan tersebut adalah menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum ditetapkan dan tidak meletakkan tanda harga khas pada barangan terkawal,” katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barang di sebuah pasar raya di sini pada Jumaat.

SHMKM yang berkuat kuasa bermula 7 hingga 31 Disember ini adalah usaha kerajaan menstabilkan harga barangan keperluan dan memastikan bekalan itu mencukupi di pasaran.

Barangan disenaraikan di bawah skim berkenaan ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kubis bulat import (dari Indonesia dan China) serta timun.

Alexander berkata, kementeriannya juga dalam kajian akhir untuk menentukan sama ada SHMKM akan diteruskan dan pengumuman akan dibuat selepas kajian itu selesai dalam masa terdekat.

Mengenai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas yang bermula 23 hingga 31 Disember pula, Alexander berkata, 1,060 premis telah diperiksa setakat ini dan tiada aduan serta tindakan kes dikenakan terhadap peniaga. - Bernama

Artikel Berkaitan: