Ahmad Idham dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Finas

Ahmad Idham
Ahmad Idham
A
A
A

PELAKON, pengarah dan penerbit, Ahmad Idham Ahmad Nadzri telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi tempoh dua tahun berkuakuasa 11 Mac lalu.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia.

Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pelantikan ini merupakan keputusan Lembaga berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional malaysia 1981 bagi menggantikan pemangku Shakib Ahmad Shakir yang telah menjalankan tugas selama empat bulan lalu.

“KKMM mengucapkan terima kasih kepada Shakib Ahmad Syakir untuk perkhidmatan beliau dalam menjalankan tugasan sebagai pemangku jawatan tersebut.

“Kementerian berharap Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu ini akan berkhidmat untuk meningkatkan usaha-usaha Finas bagi membangunkan industri ini.

“Saya juga berharap agar ahli-ahli lembaga Finas akan memberikan kerjasama yang penuh kepada Ahmad Idham Ahmad Nadzri dalam melaksanakan pembaharuan berdasarkan hala tuju kerajaan,” katanya.

Ahmad Idzham Nadzri merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Prakaunan dari Universiiti Teknologi Mara (UiTM) dan mempunyai kepakaran serta pengalaman di dalam industri kreatif selama lebih 25 tahun selain pernah mencatat rekod dan menerima pelbagai anugerah di dalam dan luar negara.

Artikel Berkaitan: