Klopp, Conte senada, mahu separuh akhir Piala Liga satu perlawanan

Klopp dan Conte senada baki saingan Piala Liga tidak dianjurkan secara timbal balik bagi mengelakkan kepadatan jadual perlawanan.
Klopp dan Conte senada baki saingan Piala Liga tidak dianjurkan secara timbal balik bagi mengelakkan kepadatan jadual perlawanan.
A
A
A

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp dan pengendali Tottenham, Antonio Conte menggesa perlawanan separuh akhir Piala Liga pada Januari depan ditukar kepada perlawanan kalah mati bagi mengurangkan kepadatan perlawanan.

"Saya fikir adalah lebih baik dengan satu perlawanan, tetapi jelas sekali apa yang saya katakan tidak terlalu penting.

"Jika ada dua perlawanan, maka kami akan bermain dua perlawanan, namun ia akan membantu jika hanya ada satu perlawanan.

"Ya, kami akan ke Arsenal, bagi saya tidak ada sebarang masalah, kami biasa bermain di sana dan lihat siapa yang lebih baik dan mara peringkat seterusnya," kata Klopp.

Klopp sebelum ini secara konsisten berkempen mengurangkan perlawanan dan mengembalikan lima pemain gantian dalam saingan liga beberapa musim kebelakangan ini.

“Saya bukan sahaja bercakap mengenai kebajikan pemain tahun ini, saya telah bercakap mengenainya selama enam tahun atau mungkin lebih lama lagi.

"Jika perkara yang saya katakan akan lebih membantu, saya akan mengatakannya lebih kerap. Tetapi ia tidak membantu.

"Satu-satunya perkara yang saya lakukan dengan mesej ini ialah saya mencipta tajuk berita. Mereka tidak pernah tiba di tempat yang betul," ujar Klopp.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tottenham yang tersingkir daripada Liga Konferens Europa awal minggu ini selepas tarikh yang diatur semula untuk perlawanan terakhir kumpulan menentang Rennes tidak dapat dipersetujui antara kelab.

Spurs terpaksa menangguhkan perlawanan, yang pada mulanya dijadualkan pada 9 Disember, berikutan penularan Covid-19 yang menyaksikan sekurang-kurangnya lapan pemain dan lima kakitangan disahkan positif.

“Mungkin lebih baik bermain satu perlawanan dan bukan dua perlawanan, terutamanya untuk situasi yang kita hadapi pada ketika ini, tetapi kita perlu menghormati peraturan,” kata Conte.

Tottenham mempunyai tiga perlawanan liga yang tertunggak berikutan cuaca buruk dan penularan Covid-19 dalam kalangan pemain, manakala Liverpool juga terjejas selepas empat kes positif Covid-19 sepanjang minggu lalu.

Enam daripada 10 perlawanan liga dijadualkan hujung minggu lalu dibatalkan dan lebih banyak lagi dijangka dalam beberapa minggu lagi selepas pengelola memutuskan meneruskan walaupun terdapat rekod kes positif di seluruh Britain.

Sebelum ini, perlawanan timbal balik kedua separuh akhir Piala Liga tahun lalu dikurangkan kepada satu perlawanan disebabkan permulaan musim yang lewat akibat Covid-19.

Seperti yang diketahui, Liverpool akan berkunjung ke Emirates menentang Arsenal manakala Conte menentang kelab lamanya, Chelsea dalam empat perlawanan terakhir.