X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Agong titah siasatan tanah runtuh dilakukan secepat mungkin

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bertanya khabar keadaan mangsa tanah runtuh yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala pada Jumaat.
A
A

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar siasatan tanah runtuh di Jalan Palinbayan Kampung Sungai Penchala dilakukan secepat mungkin.

Seri Paduka Baginda bertitah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menempatkan sebahagian penduduk yang terjejas di kawasan itu di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Beringin.

“Ini tinjauan atas simpati terhadap mangsa-mangsa tanah runtuh dan banjir. Beta amat bersimpati dengan penghuni di kawasan ini.

“Beta harap segala siasatan terhadap kawasan ini dapat dibuat dengan secepat mungkin. Dalam pada itu, pihak DBKL telah menyatakan untuk menempatkan sebahagian daripada penduduk di sini ke satu tempat di Flat Taman Beringin,” titah Seri Paduka Baginda.

Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian selepas mencemar duli melawat mangsa tanah runtuh yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Secara keseluruhan, tanah runtuh di Jalan Palinbayan Kampung Sungai Penchala melibatkan 94 buah rumah dengan 24 buah musnah dan 70 buah lagi terjejas.

Sebanyak 284 orang yang dipindahkan dari kawasan kediaman melibatkan 136 orang iaitu 43 keluarga tinggal di PPS ini dan 148 orang tinggal di luar PPS.

Semasa lawatan itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa hampir satu jam beramah mesra dan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada setiap keluarga yang terlibat.

Dalam masa sama, Seri Paduka Baginda bertitah agar semua pihak sama ada individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan berganding bahu untuk membantu sekadar yang mampu.

“Apa yang boleh beta nyatakan, beta sedih dan simpati, namun kita semua harus menerima ujian ALLAH SWT dan banyak bersabar.

“Mana-mana pihak dan insan yang bersabar tetap akan diberi kebaikan di kemudian nanti,” titah Seri Paduka Baginda.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!