Bengkel kereta mula sesak

Antara kereta rosak akibat banjir yang menunggu giliran untuk dibaiki. (Gambar kanan) Antara kereta yang sedang diperbaiki oleh Chee Hong di sebuah bengkel di Berjaya Park, Seksyen 32, Shah Alam.
Antara kereta rosak akibat banjir yang menunggu giliran untuk dibaiki. (Gambar kanan) Antara kereta yang sedang diperbaiki oleh Chee Hong di sebuah bengkel di Berjaya Park, Seksyen 32, Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Bengkel dan pusat servis kenderaan di sekitar kawasan sini sesak berikutan banyak kenderaan rosak akibat banjir yang melanda sejak Sabtu lalu.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa bengkel kereta di Seksyen 32 dan Seksyen 25, di sini pada Jumaat mendapati banyak kenderaan sedang dibersihkan dan dibaiki akibat terjejas banjir.

Hasil tinjauan turut mendapati banyak kereta dibiarkan di sekitar bengkel untuk menunggu giliran bagi tujuan pembaikan.

Salah seorang pekerja di sebuah bengkel di Berjaya Park, Seksyen 32, Low Chee Hong, 43, berkata, pihaknya mula menerima kereta yang terjejas akibat banjir sejak Rabu.

Low Chee Hong
Low Chee Hong

Menurutnya, jumlah kereta yang diterima sangat banyak sedangkan dia hanya boleh membaiki tiga buah kenderaan dalam satu masa dan memerlukan selama dua hingga tiga hari untuk membaiki sebuah kereta kerana tidak cukup pekerja.

"Ini pun ada lagi lima hingga enam kereta masih tunggu untuk dibaiki. Jumlah itu tidak termasuk kereta lain daripada pelanggan tetap saya.

"Biasanya saya akan bersihkan bahagian dalam kereta seperti tempat duduk, alas kaki dan yang berkaitan sebelum periksa bahagian yang perlu dibaiki seperti enjin. Kos membaiki berbeza mengikut kenderaan serta tahap kerosakan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Salah seorang pemilik kenderaan, Tazkiyatul Munauwaroh Omacarly, 30, berkata, dua buah kereta miliknya dan suami terjejas akibat banjir yang melanda rumahnya di Taman Klang Utama, Klang baru-baru ini.

Tazkiyatul Munauwaroh Omacarly
Tazkiyatul Munauwaroh Omacarly

Ujarnya, kos bagi membaiki kedua-dua buah kereta tersebut menelan perbelanjaan sekitar RM900 meliputi penggantian minyak hitam, cucian secara mendalam (deep cleaning) dan lain-lain.

"Selain kereta, kedua-kedua motor saya dan suami juga perlu dibaiki kerana rosak akibat banjir, yang mana ia melibatkan kos sekitar RM170 untuk tukar minyak hitam serta mentol lampu.

"Tapi untuk kerosakan lain seperti enjin itu saya tidak pasti kerana pihak bengkel masih memeriksa bahagian tersebut," katanya yang bekerja sebagai jurutera awam.

Dalam pada itu, Eswararao Pathannai, 37, yang menghantar keretanya untuk dibaiki di bengkel sekitar Seksyen 32, juga masih tidak mengetahui kos untuk memperbaiki keretanya yang rosak akibat tenggelam dalam banjir di rumahnya di Taman Sri Muda, Seksyen 25.

Eswararao yang bekerja sebagai pemandu lori juga tidak dapat bekerja kerana lorinya turut ditenggelami banjir.

"Kilang tempat kerja saya pun ditenggelami air, jadi saya tidak tahu bila boleh mula kerja.

"Soal bantuan pun saya tidak pasti nak minta di mana," katanya.

Pemilik kenderaan lain, Noor Azura Sahril, 37, pula berkata, dia akan menghantar keretanya yang tenggelam akibat banjir dalam masa terdekat selepas kerja-kerja pembersihan rumahnya di Taman Sri Muda, Seksyen 25 selesai.

Noor Azura Sahril
Noor Azura Sahril

"Kereta itu milik arwah ibu, tapi buat masa ini saya nak siapkan kerja pembersihan rumah, buat laporan, baru selesaikan isu kereta untuk hantar ke bengkel milik kawan saya.

"Motosikal juga tenggelam dan sudah dihantar ke bengkel, tapi perlu tukar minyak hitam, bersihkan, baru boleh hidupkan enjin," katanya yang merupakan seorang suri rumah.