X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

15 pemain Bunga Raya disenarai ke Birmingham 2022

Amrul Hazarin
A
A

KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) akan menyenarai pendek 15 pemain terbaik ke pasukan tujuh-sebelah (7s) kebangsaan dalam masa terdekat, bagi mengharungi cabaran pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham bermula 28 Julai hingga 8 Ogos tahun depan.

Setiausaha Agung KRM, Amrul Hazarin Hamidon berkata, pemilihan itu akan ditapis berdasarkan prestasi serta input daripada pelbagai pihak termasuk jurulatih, pengurusan dan lembaga kejurulatihan memandangkan slot pemilihan itu lebih terhad berbanding sebelumnya.

"Kita dah melihat prestasi mereka di Kejohanan Asia Ragbi 7s di Dubai baru-baru ini dan di beberapa kejohanan lain, jadi kita akan kenal pasti 15 pemain terbaik untuk diserap ke dalam program Komanwel 2022.

"Sebelum ini, 20 atlet yang akan dipilih kerana kita mempunyai jangka masa yang panjang untuk kenal pasti 15 yang terbaik. Tetapi untuk kali ini kita akan bermula terus dengan 15 orang," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan latihan masih diteruskan secara bersendirian, namun pihaknya masih menunggu keputusan serta kebenaran penggunaan kemudahan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) yang akan ditetapkan dalam masa terdekat, supaya latihan pusat dapat dimulakan.

Dalam pada itu, Amrul Hazarin berkata meskipun dana bagi sukan ragbi dipotong, pihaknya kekal optimis dalam melaksanakan program latihan yang terbaik kepada para atlet mengikut kemampuan serta peruntukan yang tersedia.

Berkongsi kejayaan cemerlang skuad Bunga Raya 7s di Dubai baru-baru ini, beliau menzahirkan rasa bangga dengan aksi yang ditampilkan barisan atlet, terutamanya apabila majoriti pemain dalam pasukan berkenaan merupakan muka baharu.

"Skuad yang pergi ke Dubai ini adalah daripada pelatih-pelatih yang masuk program Sukan Asia 2026. Mereka adalah pemain pelapis, tetapi mereka menunjukkan satu prestasi yang sangat bagus sebenarnya," katanya yang turut mengharapkan barisan skuad kebangsaan baharu mampu menampilkan prestasi cemerlang di Sukan Komanwel 2022.

Pada 27 November lalu, skuad ragbi 7s negara berjaya menempah tiket ke Birmingham 2022 selepas menewaskan Filipina sekali gus menduduki tempat kedua teratas dalam senarai pasukan dari negara Komanwel Kejohanan Asia Ragbi 7s itu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!