Pencemaran kimia: Lagi desak isytihar darurat di Pasir Gudang

Suasana di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang sekitar jam 11 pagi.
Suasana di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang sekitar jam 11 pagi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), mendesak kerajaan agar segera mengisytiharkan Parlimen itu sebagai kawasan darurat, susulan kejadian pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim yang semakin serius.

Tegasnya, keadaan di kawasannya itu menuntut segera tindakan daripada kerajaan, kerana ia melibatkan soal nyawa dan keselamatan rakyat di kawasan itu.

"Yang Berhormat Menteri sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang saya mohon supaya Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang hari ini juga.

"Menteri tolong saya, pagi tadi saya telah hantar surat kepada Yang Dipertua (Datuk Mohamad Ariff Md Yusuf) agar usul tergempar dibentangkan di Parlimen hari ini bukan hari isnin akan datang, saya minta soal teknikal diketepikan, ini soal nyawa, saya minta usul darurat ini dibincangkan dan dibahaskan hari ini," katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, pagi ini.

Menjawab pertanyaan itu Menteri Tenaga Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin (PH-Bakri) menegaskan bahawa beliau ambil maklum mengenai perkara itu.

"Saya akan memanjangkan pandangan ini kepada jawatankuasa, ini bukan keputusan saya seorang sendiri saya memang ambil maklum dan akan memanjangkan perkara ini dan akan membuat keputusan secepat mungkin," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Perkembangan di Pasir Gudang menyaksikan sebanyak 43 buah sekolah ditutup sehingga jam 7 petang semalam.

Difahamkan kesan toksik di Sungai Kim Kim itu terus merebak apabila beberapa pelajar mula mengalami simptom sesak nafas.

Artikel Berkaitan: