X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

'Bimbang longgokan sampah akan cetuskan penyakit'

Mon Huay (kanan) menunjukkan longgokan sampah di Seri Aman.
A
A

PUCHONG - MCA Puchong mendakwa pihak berkuasa tempatan (PBT) gagal melaksanakan tanggungjawab dalam menguruskan sampah di sepanjang jalan di Kampung Seri Aman sejak tiga hari lalu.

Malah kampung berdekatan termasuk Kampung Tengah, Kenangan dan sekitarnya turut mengalami masalah longgokan sampah yang dibimbangi akan menjejaskan kesihatan penduduk.

Justeru, Ketua Media Baharu MCA Puchong, Soon Mon Huay serta Ketua Biro Aduan MCA Seri Kembangan dan Puchong, Wong Jung Lik, meminta agar kerajaan Selangor dapat campur tangan segera berhubung perkara itu.

"Penduduk mula bimbang, takut longgokan sampah akan mencetuskan penyakit atau penyebaran kuman di sekitar kampung ini," kata mereka dalam satu kenyataan bersama kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, mereka turut mencadang agar tong sampah besar disediakan di semua kawasan bencana banjir di Seri Aman bagi memudahkan penduduk untuk membuang sampah termasuk perabot yang rosak.

Malah, wakil rakyat juga harus mengkaji semula jadual operasi pasukan pembersihan di kawasan itu termasuk memanjangkan waktu kutipan sampah bermula pada jam 8 pagi sehingga 10 malam.

"Kumpulan pembersihan juga perlu diwujudkan dalam dua kumpulan pembersihan iaitu bagi sesi pagi dan sesi malam kerana kerja pembersihan harus dititikberatkan, sebelum berlakunya wabak penyakit.

"Malah penduduk kampung juga mula mengadu banyak nyamuk dan lalat berpunca daripada bau busuk di kawasan ini selain mereka kini hidup dalam kebimbangan jika perkara ini tidak diatasi segera," katanya.

Mereka turut memaklumkan, selepas sistem perparitan dinaik taraf pada tahun 1994, banjir tidak pernah berlaku di kawasan terbabit dan kerajaan negeri perlu menyiasat punca banjir melanda kawasan berkenaan.

"Penduduk harap kerajaan negeri dapat memberi penjelasan tentang perkara itu dan buat masa ini kewajipan mereka adalah menyelesaikan segera masalah longgokan sampah," kata mereka.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!