Dana RM83 juta disalur melalui GDRN bantu mangsa banjir

Tengku Zafrul - Foto Bernama
Tengku Zafrul - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dana sebanyak RM83 juta termasuk geran berjumlah RM25 juta oleh kerajaan disalurkan melalui Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GDRN) untuk membantu mangsa bencana banjir, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan menyumbang RM58 juta untuk menangani bencana banjir, meningkat lebih 100 peratus berbanding jumlah RM25 juta yang diumumkan sebelum ini.

Di samping itu, katanya, sejak 17 Disember, GDRN mula memantau keadaan banjir di seluruh negara dan telah turun padang untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Antaranya termasuklah, KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang menyediakan Kampus Pembelajaran KWSP sebagai pusat penempatan sementara; Telekom Malaysia yang mula mengaktifkan Pusat Arahan Krisis mereka dan bersedia memberi bantuan komunikasi dan perkhidmatan kecemasan serta Pharmaniaga dan MASKargo yang giat menghantar bantuan kepada mangsa banjir,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Ke-80 yang dikeluarkan pada Khamis.

Beliau berkata, sektor perbankan juga telah menyatakan kesediaan untuk menawarkan program bantuan bayaran balik kepada peminjam yang terkesan akibat banjir.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan terus memantau keadaan dan Kementerian Kewangan khususnya sentiasa bersedia untuk menyediakan peruntukan secukupnya untuk membantu mangsa banjir secepat mungkin.

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri telah memulakan usaha membaiki rumah-rumah dan infrastruktur awam yang rosak akibat banjir.

“Pelbagai agensi dikerah untuk menangani isu banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam dengan segera. Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran telah diarahkan untuk mengepam air dari kawasan banjir genang ke sungai berhampiran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk menggerakkan usaha pemulihan pascabanjir.

Mengenai Program Subsidi Upah (PSU) katanya, secara keseluruhannya, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM19.815 bilion kepada 360,094 majikan bagi mengekalkan penggajian 2,949,828 pekerja tempatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Bagi Geran Pendigitalan PKS, Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM150.60 juta telah disalurkan kepada 53,840 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bentuk geran padanan setakat 10 Disember.

Beliau berkata, di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM700 juta bagi membantu dan menggalak PKS dan syarikat di peringkat pertengahan (MTC) ke arah pendigitalan operasi dan saluran perdagangan.

“Setakat 10 Disember, sejumlah RM89.9 juta telah disalurkan kepada 13,889 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi,” katanya. - Bernama