Pencemaran toksik: Segera isytihar darurat di Pasir Gudang: Pas Pusat

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A

KUALA NERUS - Kelewatan tindakan kerajaan dalam menangani ujian menimpa warga Pasir Gudang, Johor akibat pencemaran toksik memberi risiko kepada ribuan nyawa dan kesihatan awam.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beliau kesal kerana pencemaran itu telah dikesan sejak 7 Mac lagi dan hari ini telah genap seminggu.

"Kelewatan bertindak oleh pihak kerajaan dalam isu penceraman sisa kimia di Pasir Gudang sangat dikesali sedangkan ia merisikokan nyawa dan kesihatan ribuan jiwa.

"Pencemaran ini telah dikesan sejak 7 mac lagi dan har ini telah mencukupi seminggu," kata Khairuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Nerus dalam satu kenyataannya, hari ini.

Beliau mempersoalkan langkah kerajaan yang belum mengambil tindakan tindakan pencegahan lebih drastik bagi menangani isu berkenaan termasuk dengan mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang.

"Adakah kerajaan mahu menunggu lebih ramai lagi mangsa datang mengadu kesakitan akibat terhidu gas metana di hospital-hospital untuk mengumumkan tindakan-tindakan pencegahan yang drastik dan bukan hanya tindakan rawatan?

"Lewat malam tadi Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik) mengumumkan 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup setelah pada tengaharinya beliau mengumumkan 34 buah sekolah sahaja diarah tutup.

"Tidakkah ia menunjukkan tahap kritikal yang sedang berlaku?," soalnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad semalam, pula menyatakan seramai 506 orang individu dirawat akibat pencemaran tersebut.

"Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian pula lewat petang tadi (semalam) memandang ringan isu ini dengan menyifatkannya sebagai 'masih terkawal' dan 'tidak jejas begitu teruk'," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran terkawal, tak perlu isytihar darurat: MB Johor

Dalam masa sama, katanya, ada pengkaji yang turut menimbulkan persoalan adakah gas metana boleh dihalang penyebarannya dengan memakai penutup muka sahaja.

"Maka saya merasakan sangat wajar perisytiharan darurat dibuat segera oleh kerajaan bagi mengosongkan kawasan terbabit dan mengarahkan perpindahan segera penduduk.

"Tindakan pencegahan sebegini lebih baik berbanding risiko nyawa dan kesihatan yang mungkin timbul selagi kawasan tersebut belum disahkan benar-benar selamat," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia