Pindah segera jika diminta pihak berkuasa: Raja Muda Kedah

Tengku Sarafudin Badlishah (tengah) menyerahkan beras kepada Zakaria (dua dari kanan) sebagai gimik penyerahan bantuan sebelum menyempurnakan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Banjir LZNK ke Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang di pekarangan Stadium Darul Aman, pada Khamis.
Tengku Sarafudin Badlishah (tengah) menyerahkan beras kepada Zakaria (dua dari kanan) sebagai gimik penyerahan bantuan sebelum menyempurnakan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Banjir LZNK ke Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang di pekarangan Stadium Darul Aman, pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin menasihati orang ramai yang berada di kawasan bencana agar segera berpindah sekiranya diminta berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

Menurut baginda, mereka diminta berpindah ke kawasan yang selamat sehingga dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

"Bagi mereka yang terjejas, yang penting sekali kena dengar nasihat daripada pihak berkuasa. Kalau ada amaran banjir, hujan dan diminta berpindah, maka kita kena pindah.

"Kalau kita rasa tidak selamat tempat itu, kita pergi duduk tempat yang disedaikan sampai keadaan kembali pulih," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Banjir Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) ke Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang di pekarangan Stadium Darul Aman, dekat sini pada Khamis.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Roze Shaari dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman.

Baginda bertitah, rakyat Malaysia perlu membantu di antara satu sama lain bagi meringankan beban mereka yang sedang berada di dalam kesusahan seperti kejadian bencana banjir besar di Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.

"Semua rakyat Malaysia kalau ada apa-apa bencana perlu salin bantu membantu di antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

"Tidak kira negeri, tidak kira agama dan tidak kira bangsa, kita semua adalah rakyat Malaysia dan kita patut tolong antara satu sama lain," titah baginda.

Sementara itu, Zakaria berkata, misi bantuan tersebut membawa 24,000 kampit beras bernilai RM284,000 yang akan diagihkan mengikut budi bicara majlis agama dan pusat zakat di kawasan terjejas.

Menurutnya, sebanyak 12,000 kampit beras dibawa menggunakan dua treler dihantar ke Selangor dan sebuah treler yang membawa 6,000 kampit beras ke Kuala Lumpur manakala sebuah treler lagi membawa 6,000 kampit beras ke Pahang.

"Kesemua beras ini akan diserahkan esok di Selangor dan Pahang pada jam10 pagi manakala di Kuala Lumpur pada jam 11.30 pagi," katanya.