Lotus’s aktifkan #KitakanJiran, bantu mangsa banjir

Kakitangan Lotus’s bertungkus lumus menyiapkan dan mengagihkan barangan keperluan yang disumbangkan oleh orang ramai untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
Kakitangan Lotus’s bertungkus lumus menyiapkan dan mengagihkan barangan keperluan yang disumbangkan oleh orang ramai untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
A
A
A

PETALING JAYA – Lotuss Stores Malaysia Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) mengaktifkan inisiatif semangat kejiranan Lotus’s #KitakanJiran bagi membantu mangsa banjir di kawasan terjejas berdekatan dengan cawangan pasar raya mereka.

Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat Lotus's Malaysia, Azliza Baizura Azmel berkata, inisiatif tersebut telah dimulakan sebaik sahaja pihaknya mendapat maklumat mengenai bencana banjir di Lotus’s Shah Alam pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, pasukan sukarelawan terdiri daripada kakitangannya di Lotus’s Shah Alam telah mengambil inisiatif mengagihkan bekalan air dan makanan kering seperti biskut dan roti kepada mereka yang terkandas hampir 17 jam di jalan raya di sekitar pasar raya tersebut.

“Disebabkan keadaan yang berlarutan pada malam Sabtu itu, kami mengambil keputusan melanjutkan operasi stor di Shah Alam bagi membolehkan orang ramai berehat dan mengerjakan solat.

“Kami menyediakan snek, minuman panas, selimut, lampin bayi dan keperluan kebersihan lain semasa orang ramai berada di situ. Mereka bermalam di Lotus’s Shah Alam sementara menunggu banjir pulih dan kembali memulakan perjalanan,” katanya ketika ditemui semasa program pengumpulan derma banjir di Lotus’s Ara Damansara, di sini pada Rabu.

Azliza Azmel (kiri) turut sama menyiapkan barangan keperluan yang disumbangkan oleh orang ramai.
Azliza Azmel (kiri) turut sama menyiapkan barangan keperluan yang disumbangkan oleh orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Meneruskan inisiatif itu, Lotus’s #KitakanJiran digerakkan oleh pasukan-pasukan di lapan cawangannya iaitu di Lotus’s Puchong, Lotus’s Klang, Lotus’s Cheras, Lotus’s Kuala Selangor, Lotus’s Selayang, Lotus’s Ara Damansara,Lotus’s Bahau dan juga Lotus’s Shah Alam

Pasukan sukarelawan di stor Lotus’ s Malaysia mengagihkan pemberian bekalan makanan dan barangan keperluan asas kepada komuniti terjejas termasuk di pusat perlindungan sementara mangsa banjir berdekatan pasar raya tersebut.

Perluaskan bantuan

Syarikat itu turut mempertimbangkan untuk meluaskan lagi inisiatif bantuan banjir Lotus’s #KitakanJiran di setiap 62 cawangannya di seluruh negara sekiranya diperlukan.

“Kita tidak tahu selama mana banjir berterusan atau di mana ia akan berlaku. Kami di Lotus’s Malaysia sentiasa peka dan sekiranya terdapat tempat lain yang memerlukan pertolongan, Insya-ALLAH kami akan ambil langkah yang sama.

“Jangkauan komuniti #KitakanJiran kami tidak akan berakhir di sini kerana kami akan mengaktifkan stor lain jika timbul keperluan untuk membantu komuniti kami membina semula kehidupan mereka,” ujarnya.

Sukarelawan Bulan Sabit Merah membantu memuatkan barangan keperluan ke dalam lori Lotus's.
Sukarelawan Bulan Sabit Merah membantu memuatkan barangan keperluan ke dalam lori Lotus's.

Sebagai usaha untuk memperkasakan lagi inisiatif bantuan banjir Lotus’s #KitakanJiran, program bantuan banjir diperluaskan bagi memberi peluang kepada pelanggan dan orang ramai untuk sama-sama membantu mangsa bencana tersebut.

Menurut Azliza, pihaknya bekerjasama dengan beberapa rakan strategik termasuk Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) yang akan bertanggungjawab menguruskan sumbangan orang ramai sebelum diagihkan kepada mangsa banjir di Selangor iaitu Klang, Shah Alam dan Hulu Langat.

“Program ini membolehkan orang awam turut memberikan bantuan bekalan makanan ataupun barangan kebersihan diri bagi disalurkan kepada mereka yang terjejas,” ujarnya.

AZLIZA AZMEL
AZLIZA AZMEL

Beliau berkata, hari pertama kutipan tersebut telah dijalankan di tapak letak kereta Lotus’s Ara Damansara pada Rabu, bermula 10 pagi hingga 4 petang manakala hari kedua pula diadakan pada waktu yang sama di Lotus’s Kepong pada Jumaat.

“Sasaran jumlah mangsa yang akan dibantu ialah seramai lebih 500 keluarga dan individu di tiga kawasan tersebut. Kita harap lebih ramai yang dapat dibantu,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi BSMM Kebangsaan, Suhana Sidik berkata, setiap sumbangan bantuan yang diberikan menerusi program tersebut akan direkod dan diuruskan agar ia diagihkan mengikut keperluan mangsa banjir di kawasan terbabit.

Menurut Suhana, pihaknya akan melakukan penilaian terhadap bentuk bantuan dan jumlah yang diperlukan di sesebuah kawasan banjir sebelum mula melakukan agihan.

Kumpul dana

Orang ramai turut memberi sumbangan barangan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
Orang ramai turut memberi sumbangan barangan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Selain daripada peruntukan tahunan khidmat masyarakat Lotus’s Malaysia, inisiatif program bantuan banjir itu turut menerima sumbangan daripada pengumpulan dana #KitakanJiran Prihatin yang yang diaktifkan oleh rakan sekerja, rakan kongsi dan orang ramai sejak awal tahun ini.

Menurut Azliza, Inisiatif kejiranan #KitakanJiran itu telah digerakkan oleh Lotus’s Malaysia sebagai tanda keprihatinan pekerja dan syarikat tersebut terhadap kebajikan masyarakat setempat yang berada di sekitar rangkaian pasar raya itu di seluruh negara.

Azliza berkata, selain menawarkan produk berkualiti dengan harga berpatutan kepada pelanggan, Lotus’s Malaysia melalui Inisiatif #KitakanJiran juga berhasrat untuk meningkatkan taraf sosial masyarakat setempat.

Menurutnya, usaha kebajikan itu juga tidak terhad hanya kepada bencana, malah ia turut meliputi bantuan kanak-kanak setempat yang memerlukan peralatan pendidikan termasuk alat tulis dan buku.

“Jadi melalui inisiatif ini, kita akan ikhtiarkan macam mana kita boleh tolong masyarakat setempat untuk memajukan diri mereka,” jelasnya.