Peminat Sissy Imann jangan risau...

Sissy Imann
A
A

BINTANG yang kini sedang hangat mencipta nama, Sissy Imann mengakui pembabitan dalam program Big Stage pada tahun lalu banyak mencipta peluang baharu dalam kerjaya seninya kini.

Meski melalui jalan yang tidak mudah, penyanyi asal Kuala Lumpur ini melihat ia sebagai proses pembelajaran terbaik pada masa akan datang.

“Alhamdulillah selepas pembabitan dalam Big Stage, Sissy banyak mendapat peluang baharu yang tidak dijangkakan dalam perjalanan kerjaya seni.

“Bukan soal populariti semata-mata, tetapi ilmu baharu dan peluang bekerja dengan orang baharu yang ternyata memberikan pengalaman yang berbeza buat Sissy.

“Dalam masa yang sama, Sissy juga melihat ia sebagai kesempatan terbaik mengetengahkan potensi diri dalam bidang seni ini,” ujar Sissy.

Single terkini, Pesanan Ayahanda yang dihasilkan menerusi syarikat rakaman Faithful Music milik idolanya, Faizal Tahir pada awal Februari lalu juga mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para peminat.

Biarpun pada awal pembaharuan yang dibawakan menerusi lagu tersebut mendapat reaksi pelbagai daripada penggemar muziknya, Sissy percaya apa yang diketengahkan itu memberi pilihan yang berbeza.

“Sebelum ini kebanyakan single Sissy menyaksikan kolaborasi bersama komposer AG Coco, jadi apabila buat pertama kalinya tampil dengan team baharu yang terdiri daripada Faizal Tahir, Ezra Kong, Mike Chan dan Romeo mestilah ia memberi bunyi yang lain.

“Memang single ini sedikit berbeza daripada lagu-lagu yang pernah ditampilkan Sissy sebelum ini, namun peminat Sissy tak perlu risau kerana identiti muzik Sissy Imann masih kekal dalam lagu tersebut.

“Meski lagu ini tidaklah viral sebagaimana single penyanyi lain, namun Sissy berpuas hati dengan respon positif yang diberikan peminat setakat ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Sissy juga kini semakin aktif dalam dunia lakonan apabila tawaran demi tawaran datang silih berganti melorongkan peluang untuk terus mengembangkan bakat dalam bidang tersebut.

Menyangkal dakwaan yang mengatakan penglibatannya dalam bidang lakonan sekadar untuk meraih populariti, Sissy yang pertama kali beraksi menerusi watak kecil dalam Autumn in Wales ini cuba membuktikan sebaliknya.

“Sissy berjinak-jinak dalam dunia lakonan adalah untuk belajar benda baharu dan mengambil peluang yang diberikan.

“Memang pada mulanya niat Sissy hanya untuk mencuba, tetapi siapa sangka percubaan itu memberikan satu keseronokan apabila Sissy dapat buat sesuatu yang cukup berbeza dengan apa yang dilakukan sebelum ini, sekali gus menimba pengalaman baharu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sissy juga bakal muncul dalam program The House musim kelima bersama dua lagi bintang Big Stage, Sarah Suhairi dan Wani Kayrie yang akan memulakan siarannya pada 27 Mac depan, setiap Rabu, 9 malam di Astro Ria.