Audio 'can i advise you something' bukan suara saya: Rosmah

Rosmah (dua dari kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghadapi prosiding bela diri kes rasuah projek hidrid solar pada Khamis.
Rosmah (dua dari kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghadapi prosiding bela diri kes rasuah projek hidrid solar pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menafikan rakaman audio 'can i advise you something' adalah suaranya selain menyatakannya sebagai sesuatu yang 'merepek'.

Ketika prosiding bela diri kes rasuah membabitkan projek hibrid solar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, isteri bekas Perdana Menteri berkata, tiada siasatan saintifik dilakukan terhadap audio tersebut.

Selain itu, Rosmah turut mempersoalkan tindakan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) ad-hoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram berhubung kenyataan saksi mengenai audio berkenaan.

Sri Ram: Ada saksi beritahu, bahawa mereka mengenal pasti itu adalah suara Datin Seri dan suami.

Rosmah: Dan anda percaya perkara itu?

Sri Ram: Datin Seri tidak boleh soal saya, jangan bertengkar dengan saya, kalau nak juga, saya akan meminta mahkamah keluarkan arahan terhadap Datin Seri.

Rosmah: Saya bukan nak bertengkar, saya nak jawab tapi janganlah jerit-jerit, saya tak biasa orang jerit-jerit pada saya.

Hakim Mohamed Zaini kemudiannya meminta Rosmah supaya menjawab ya atau tidak, berhubung soalan yang diaju oleh pihak pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Pada prosiding sebelum ini, dua saksi pendakwaan, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor menyatakan bahawa suara dalam rakaman audio ‘can I advise you something’ adalah milik Rosmah dan Datuk Seri Najib Razak.

Dalam pada itu, prosiding sekali lagi bertukar tegang apabila pihak pendakwaan dan pembelaan bertikam lidah berhubung kenyataan yang diberi Rosmah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 Oktober 2018 lalu.

Ia selepas peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah, membantah soalan Sri Ram yang menyentuh kes pengubahan wang haram (AMLA).

Sri Ram: Datin Seri kenal dengan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin (SP17) dan rakan niaganya, Rayyan Radzwill Abdullah (SP16)?

Rosmah: Saya memang tak kenal sebab dia bukan kawan atau kenalan saya.

Sri Ram: Tetapi, menurut Saidi, dia cakap ada beri duit pada Datin Seri.

Rosmah: Tidak.

Sri Ram: Jadi, Datin Seri mesti kenal dia.

Rosmah: Kenapa pula (nak kenal).

Akberdin: Yang Arif, maaf, saya bukan mahu mencelah, saya tak faham, apa yang pihak pendakwaan cuba sampaikan, dia nak rujuk kes AMLA.

Hakim Mohamed Zaini: Itu adalah kesimpulan yang saya akan buat di akhir perbicaraan kelak.

Akberdin: Tapi kita kena tahu apa yang beliau cuba rujuk dalam kenyataan kes AMLA kerana kemudiannya beralih ke isu wang sedangkan ia tidak dinyatakan di sini. Adakah pendakwaan cuba nak cabar kredibilitinya?

Sri Ram: Yang Arif, saya dah nyatakan pada Datin Seri dan saya beri peluang kepadanya untuk beri penjelasan, saya tak cabar.

Akberdin: Tidak, perkara pertama yang perlu dilakukan...

Sri Ram: Yang Arif, saya tak mahu rakan terpelajar (peguam) ajar saya bagaimana nak jalankan tugas saya.

Akberdin: Tidak, tidak, saya tidak mengajarnya, tolonglah, kita kena ikut undang-undang.

Prosiding kemudian diteruskan semula selepas hakim Mohamed Zaini menangguhkan sementara prosiding selama beberapa minit.

Rosmah, 70, dibicarakan atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah dituduh melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017.