Etak tidak boleh dikutip, dijual

Jabatan Perikanan Pahang telah banyak memberi peringatan kepada orang awam dengan meletak larangan menangkap etak di kawasan Sungai Pahang bagi memberi amaran bahawa penangkapan binatang bercengkerang itu tidak boleh ditangkap
A
A

KUANTAN - Sungai Pahang yang surut dan cetek sejak beberapa minggu lalu, kini menjadi tumpuan orang ramai pada waktu petang bagi mengutip etak untuk dijadikan hidangan.

Keadaan sungai cetek bukan sahaja memberi kesempatan kepada mereka mengutip etak bersama keluarga dan rakan, malah memberi peluang kepada anak-anak kecil bermandi-manda.

Penduduk yang tinggal di daerah ini dan Kuantan kini mengambil kesempatan ke sungai mencari hidupan sungai itu sekali gus menjadikan persekitaran Sungai Pahang umpama pesta keluarga.

Namun penangkapan binatang bercengkerang tersebut adalah diharamkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Pahang.

Pengarahnya, Azhari Othman berkata sememangnya wujud larangan terhadap aktiviti penangkapan etak ekoran hidupan itu merupakan makanan utama ikan-ikan asli di sungai Pahang.

Menurutnya, pengharamam berkenaan sekaligus melindungi ikan-ikan sungai daripada pupus

"Etak merupakan makanan ikan asli di sungai Seperti ikan patin ikan temelian...jadi makanan akan berkurangan akan menyebabkan ekosistem tak stabil...

"Saya berharap agar orang ramai boleh berfikir dan memahami sebab apa kita melarang penangkapan etak ini kepada orang awam," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Azhari berkata pihaknya kesal kerana terdapat masyarakat yang pentingkan diri dengan membawa lori semata-mata utk mengaut keuntungan buat diri sendiri.

Menurutnya, penjualan etak kepada masyarakat di tempat awam dan di media sosial semangnya tidak boleh dan tangkapan akan dibuat jika masih ada lagi masyarakat yang berdegil menangkap dan menjual binatang bercengkerang itu.

"Orang ramai dilarang menangkap, memiliki dan menjual spesis moluska (etak/remis dan kijing) diperairan sungai Negeri Pahang

"Mereka yang didapati bersalah boleh di denda di bawah kaedah-kaedah perikanan (perairan sungai) 1991 Negeri Pahang - Dengan Perintah Pengarah Perikanan Negeri Pahang," katanya