Dewan Negara lulus pindaan Perlembagaan MA63

Rais- Foto Bernama
Rais- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Negara pada Khamis.

Rang undang-undang itu memperoleh sokongan 49 senator masing-masing ketika belah bahagian pada bacaan kali kedua dan ketiga, sekali gus lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Negara.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim memaklumkan undi belah bahagian perlu dijalankan berikutan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan menetapkan pindaan rang undang-undang itu pada bacaan kali kedua dan ketiga memerlukan undi tidak kurang dua pertiga daripada jumlah bilangan ahli Majlis Dewan Negara.

Beliau berkata, tiada ahli dewan itu yang tidak menyokong rang undang-undang berkenaan selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan manakala lima senator tidak hadir.

Rang undang-undang itu telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 14 Disember dengan majoriti lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat selepas memperoleh sokongan 200 ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan 199 undi menyokong ketika belah bahagian pada bacaan kali ketiga. - Bernama

Artikel Berkaitan: